Transformasi TVET perlu komitmen kolektif perkasa pembangunan bakat negara

Transformasi TVET perlu komitmen kolektif perkasa pembangunan bakat negara

Bangi : Transformasi sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dilihat sebagai antara agenda penting dalam pembangunan bakat negara yang perlu dilaksanakan secara lebih dinamik dan responsif.

Ia sejajar dengan kepesatan perubahan teknologi global.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Kamaruzaman Md Ali, usaha itu memerlukan komitmen kolektif semua pihak termasuk kerajaan, pemain industri serta penyedia latihan kemahiran.

Katanya, ia bagi memastikan pembangunan bakat masa hadapan dapat diperkasa secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Usaha itu selari dengan aspirasi ‘Revolusi TVET: Mengupayakan Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara’ yang memberi penekanan kepada penghasilan tenaga kerja mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global.

“Transformasi sistem TVET memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus TVET–Industri anjuran Yayasan Mahir Malaysia bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Bangi Resort Hotel di sini.

Sesi libat urus itu menghimpunkan wakil pengurusan tertinggi agensi kementerian, pemain industri serta penyedia latihan kemahiran berimpak tinggi dari seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes Palaniapan berkata, yayasan itu komited memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merapatkan jurang antara industri dan pusat bertauliah.

Menurutnya, usaha itu penting bagi melahirkan lebih ramai ‘Wira TVET’ yang kompeten, berdaya tahan serta mampu memenuhi keperluan ekonomi digital dan peralihan industri hijau negara.

Yayasan turut menyambut baik pemerkasaan serta peluasan skop Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang diluluskan baru-baru ini kerana dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.

Katanya, mereka juga melancarkan penjenamaan ‘Wira TVET’ sebagai inisiatif untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam program TVET berimpak tinggi serta mengangkat martabat tenaga kerja mahir sebagai pemacu utama pembangunan negara.

Dalam sesi berkenaan, peserta turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk R Ramanan atas komitmen beliau dalam memperkasa sektor TVET, termasuk melalui pemerkasaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Pindaan akta berkenaan dilihat sebagai langkah progresif dalam memperkukuh tadbir urus sistem persijilan kemahiran negara, di samping meningkatkan standard pusat bertauliah serta memperluas pengiktirafan terhadap kepakaran tenaga kerja tempatan.

Selain sesi perkongsian industri, program itu turut menampilkan dialog dua hala yang memberi tumpuan kepada penjajaran kurikulum, pembangunan bakat berteknologi tinggi serta pengukuhan kerjasama latihan industri secara lebih tersusun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top