Trauma 25 tahun rakyat Syria

Trauma 25 tahun rakyat Syria

anbia@hmetro.com.my

Damsyik: Biarpun pemerintahan kuku besi Presiden Bashar al-Assad sudah berakhir 40 hari lalu namun trauma dan ketakutan terhadap seksaan pernah dialami sukar dilupakan lebih 23 juta rakyat negara itu.

Guru matematik, Mouayad Naser berkata, pengalaman hidup dalam ketakutan selama 25 tahun masih menghantui rakyat Syria termasuk kanak-kanak kecil yang mendengar letupan bom saban hari.

Menurutnya, sejak tercetusnya konflik politik pada tahun 2011, Bashar al-Assad melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat Syria hingga meninggalkan kesan mendalam.

“Paling ditakuti adalah hukuman tahanan Penjara Sednaya berhampiran ibu kota Damsyik. Penjara ini turut dikenali sebagai ‘Rumah Penyembelihan Manusia’ dan menjadi simbol penindasan terhadap rakyat. Pasukan polis rahsia akan melakukan penahanan sewenang-wenangnya dan penyeksaan sistematik terhadap tahanan politik serta rakyat tidak berdosa.

“Dianggarkan lebih 50,000 individu dihukum mati tanpa proses kehakiman yang sah sejak September 2011. Tahanan di penjara ini mengalami penyeksaan melampau, termasuk kekurangan makanan dan layanan tidak berperikemanusiaan.

“Antara kaedah penyeksaan digunakan termasuk ‘karpet ajaib’, di mana tahanan diikat pada papan kayu berengsel yang membengkokkan badan mereka sehingga kepala menyentuh kaki sebelum dipukul,” katanya.

Sementara itu seorang aktivis sosial, Shaher Mohamed, 40, berkata, kekejaman pemerintahan terdahulu turut dibuktikan susulan penemuan kubur besar di bandar Qutayfah dan Najha di Damsyik.

Menurutnya, kerajaan terdahulu melakukan pembunuhan terancang apabila lebih 100,000 mayat ditemui ditanam beramai-ramai secara rahsia di dalam kubur besar itu.

“Mereka ini adalah rakyat atau ahli keluarga kami yang hilang dan dipercayai dibunuh sebelum dibuang ke dalam kubur besar ini.

“Malah saya sukar melupakan tragedi pembunuhan Ramadan yang berlaku pada 31 Julai 2011. Sekurang-kurangnya 136 orang terbunuh apabila tentera Syria menyerang penunjuk perasaan di seluruh negara menggunakan kereta kebal, meriam dan penembak tepat. Kebanyakan kematian berlaku di bandar Hama,” katanya.

Menurutnya, walaupun Bashir Al-Assad sudah melarikan diri ke Rusia namun dia berharap bekas pemimpin Syria berkenaan di dakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Kekejaman yang dilakukan oleh Bashar al-Assad meninggalkan luka mendalam dalam jiwa rakyat Syria. Walaupun data Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan hampir 620,000 orang awam Syria terbunuh sejak 1 Mac 2011 namun saya yakin bilangannya mencecah jutaan mangsa yang dibunuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top