nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Trauma akibat kejadian yang menimpa anak angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Amir, menyebabkan kesihatan Norlida Hassan, 51, semakin merosot.
Anak Norlida, Tuhfah Nazihah Md Tarmidi, 29, berkata ibunya pernah terkena angin ahmar selepas mengetahui kejadian yang menimpa Amir pada Januari 2021.
“Selepas kejadian itu, kesihatan ibu merosot. Sabtu lalu, ibu dibawa ke Hospital Selayang selepas bapa (Md Tarmidi Yaccub, 56) melihat tanda awal dia akan diserang angin ahmar.
“Hasil pemeriksaan mendapati gula dalam darah ibu tinggi dan dia diberikan insulin. Secara keseluruhannya, kesihatan dia bertambah baik dan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tuhfah berkata, ibunya juga sedikit meracau akibat trauma berkenaan selain disahkan menghidap demensia.
“Emosi ibu tak stabil, kadang-kadang dia okay, kadang-kadang tidak. Dia kerap bercakap benda sama berulang-ulang, terutama mengenai Amir.
“Apabila ibu meracau (sebut pasal Amir), kami akan cuba tukar topik tetapi dia masih begitu. Apa yang menyebabkan dia jadi begitu adalah apabila ada orang yang mengenalinya menegur dan bercakap mengenai Amir,” katanya.
Menurutnya, kesihatan ibunya yang merosot itu juga menjejaskan emosi seluruh ahli keluarganya yang turut merasa kehilangan Amir.
“Sejujurnya, bukan ibu sahaja yang terjejas tetapi seluruh ahli keluarga kami juga. Cuma bezanya, ibu nampak lebih terjejas kerana tahap kesihatannya.
“Ketika ini, ibu hanya mahu dijaga oleh bapa sahaja. Kami berharap kesihatan ibu akan semakin pulih dan kuat menghadapi dugaan ini,” katanya.
Terdahulu, satu video yang dimuat naik di satu akaun TikTok memaparkan suami Norlida menenangkannya di sebuah hospital tular sejak semalam.
Warganet turut meninggalkan komen pada video berkenaan dengan memberikan kata-kata semangat kepada Norlida serta ahli keluarganya supaya kuat menempuh dugaan.
Sebelum ini, media melaporkan Norlida menyerahkan Amir kepada ibu kandungnya pada Oktober 2020 selepas enam tahun menjaga kanak-kanak berkenaan.
Pada 10 Februari 2021, ibu kandung Amir, Zuraida Atan, bersama suaminya, Mohd Fadzli Abdul Razak, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan membunuh kanak-kanak berkenaan.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001, pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah.
Pada 30 Januari 2021, Harian Metro melaporkan seorang kanak-kanak ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, di sini, dengan kesan cedera dan lebam pada anggota badan.
Kematian mangsa dilaporkan oleh bapa tirinya kepada pihak polis dengan mendakwa kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air.
Berita Berkaitan
- Adik minta dikebumikan cepat – Ibu angkat [METROTV]
- Jenazah kanak-kanak dipercayai didera selamat dikebumikan
- Jenazah kanak-kanak dituntut keluarga kandung
- Lebam, luka lama dan baru pada badan mangsa – Polis
- JKM mohon jaga dua adik-beradik mangsa dipercayai didera
- Bantal busuk pengganti adik – Norlida
- Ibu kandung pernah terima rawatan psikiatri – Polis
- Mangsa sering bersendirian, termenung – Jiran
- Saya menyesal… sepatutnya saya pertahankan Adik
- Suami isteri disyaki dera anak sampai mati direman
- Tidak kasihan ke individu itu kepadanya?
- Budak maut didera
Β© New Straits Times Press (M) Bhd