Trauma lihat detik van dipandu adik ipar dirempuh treler

Trauma lihat detik van dipandu adik ipar dirempuh treler

am@hmetro.com.my

Machang: “Depan mata saya lihat van dipandu adik ipar dirempuh treler dan pekerja tercampak keluar akibat rempuhan kuat itu,” kata Faris Izzudin Zainuldin.

Faris Izzudin, 29, berkata, dia yang memandu kereta di hadapan van yang dinaiki adik iparnya Muhammad Isyhad Ismi, 20, dan pekerjanya, Nur Farah Nabilah Che Hasan, 23, ketika itu baru pulang dari memasang pelamin di Rantau Panjang.

Dalam kejadian 7.30 malam tadi, Faris Izzudin berkata, mereka memandu dalam kelajuan biasa memandangkan suasana semakin gelap manakala adik iparnya juga baru beberapa bulan mendapat lesen memandu.

“Sebaik tiba di lokasi, saya perasan sebuah treler dipandu agak laju dari arah bertentangan dan secara tiba-tiba memasuki laluan kami sebelum merempuh van dipandu adik ipar di belakang.

“Saya sempat melihat insiden ngeri itu termasuk saat Farah (pekerja) tercampak keluar dari van menerusi cermin pandang belakang dan segera menghentikan kenderaan di tepi jalan.

“Sebaik keluar dari kereta, saya segera meraung dan berkata ngoh (Muhammad Isyhad)… Farah sudah tiada kerana melihat keadaan van yang hancur serta Farah sendiri terbaring atas jalan dengan kecederaan yang sangat parah,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Pondok Hidayah, di sini, hari ini.

Faris Izzudin yang menjalankan perusahaan butik pengantin berkata, adik iparnya itu sudah setahun bekerja dengannya namun secara sambilan sebelum diambil secara tetap sebulan lalu.

Katanya, Muhammad Isyhad adalah bekas pelajar sebuah tahfiz di Pasir Puteh dan disifatkan sebagai seorang yang sangat baik serta rajin bekerja.

“Sepatutnya esok dia akan menerima gaji tetap pertama dan dilihat agak teruja malah sempat memuat naik status terakhir di WhatsApp mengenai gaji pertama itu,” katanya.

Jenazah Muhammad Isyhad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sega, di sini manakala Nur Farah Nabilah pula di Kampung Temangan.

Sementara itu, ibu Muhammad Isyhad, Rahmah Mat Seman, 55, berkata, anak kelapan dari 10 beradik itu keluar dari rumah 8.45 pagi semalam untuk ke butik pengantin yang diusahakan anak perempuan dan menantunya.

“Biasanya ngoh akan sarapan dengan nasi sebelum keluar tapi pagi semalam dia hanya makan biskut sahaja untuk alas perut sedangkan saya sudah menggoreng ikan pekasam kegemarannya.

“Beberapa hari lalu saya bertanyakan padanya secara berseloroh, bila nak belanja umi (ibu) dan dia menjawab tunggu dapat gaji nanti dan tak sangka dia akan pergi dengan cara begini,” katanya sambil memberitahu reda dengan kehilangan seorang daripada dua anak lelakinya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top