Tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ warnai sambutan Hari Malaysia

Tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ warnai sambutan Hari Malaysia

Sempena memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil langkah melancarkan sebuah tren khas bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’.

Tren LRT Laluan Kelana Jaya telah dipilih sebagai platform bagi menjayakan usaha tersebut kerana mempunyai jumlah penumpang tertinggi serta jajaran melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hadir menyempurnakan majlis pelancaran dengan menaiki tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC di samping mengedarkan Jalur Gemilang serta cenderahati kepada penumpang.

Prasarana dan Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel di Lembah Klang berkomited dalam menyokong usaha kerajaan mempromosikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

Idea memperkenalkan inisiatif ini tercetus bagi menghargai negara Malaysia serta berkongsi fakta dan maklumat agar ianya sentiasa diperingati.

Para penumpang yang menaiki tren ‘Cerita Malaysiaku’ bakal disajikan dengan pelbagai info menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang ingin ditujui.

Lebih menarik, tren ini dibalut khas dan dihiasi dengan visual memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kaum serta budaya.

Bukan itu sahaja, orang ramai juga berpeluang melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc antaranya Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan dan banyak lagi.