PETALING JAYA: Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma bagi laluan Ampang/Sri Petaling diteruskan esok susulan kerja-kerja baik pulih masih dijalankan berikutan insiden Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin Khamis lalu.
Rapid Rail memaklumkan, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan berlangsung.
Katanya, tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan setiap empat minit.
“Bagi laluan Ampang pula, tren perantara akan beroperasi antara Ampang dan Maluri di Platform 2 dengan kekerapan enam minit, manakala perkhidmatan tren perantara antara Maluri dan Chan Sow Lin di Platform 1B dan 2B akan beroperasi setiap lapan minit.
“Sementara itu, tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan enam minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan tren perantara antara Bandar Tasik Selatan dan Cheras di Platform 1 serta antara Cheras dan Pudu di Platform 1 turut disediakan dengan kekerapan lapan minit.
“Selain itu, bas perantara percuma turut disediakan antara Hang Tuah, Cheras dan Pandan Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa.
“Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan rel alternatif yang bersesuaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai stesen atau Polis Bantuan yang bertugas.
Khamis lalu, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berhampiran Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.
Dalam kejadian itu, 25 penumpang berada dalam tren berkenaan dan kesemuanya selamat dipindahkan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan. – UTUSAN




