SHAH ALAM – Penurunan harga emas ketika ini bukan petanda perubahan trend besar dalam pasaran emas global, sebaliknya dilihat sebagai fasa pembetulan pasaran selepas mencatatkan kenaikan mendadak sebelum ini.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, trend penurunan itu hanya bersifat sementara bagi membolehkan harga emas kembali bergerak pada kadar lebih normal.
Menurutnya, harga emas berkemungkinan turun sedikit dalam tempoh jangka pendek, dipengaruhi perkembangan inflasi global, harga minyak serta sentimen pelabur terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS).
“Ini disebabkan masalah kenaikan harga minyak mula menyumbang kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus memberi kesan kepada kadar inflasi.
“Selain itu, keyakinan pelabur terhadap kestabilan dolar AS kembali meningkat secara beransur-ansur manakala isu geopolitik dunia melibatkan AS dan negara lain dilihat reda buat sementara waktu, sekali gus menyumbang kepada penurunan harga emas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Harga emas jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih enam bulan pada Khamis apabila harga emas susut 0.2 peratus kepada AS$4,063.87 seauns setakat jam 12.43 tengah malam GMT, selepas mencecah paras terendah sejak 21 November pada awal dagangan.
Kontrak niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Ogos pula turun 1.1 peratus kepada AS$4,086.50 seauns.
Mohd Faisol menjelaskan, beberapa faktor semasa termasuk pengukuhan dolar AS, ketegangan geopolitik yang reda sementara serta aktiviti pengambilan untung oleh pelabur menyumbang kepada penurunan harga logam berharga tersebut.
Menurutnya, pengukuhan dolar AS menyebabkan daya tarikan emas sebagai aset lindung nilai menjadi sedikit berkurangan berbanding ketika pasaran global berdepan ketidaktentuan yang lebih tinggi sebelum ini.
“Ini dapat dilihat apabila dolar AS kembali mengukuh berbanding ringgit sejak beberapa hari lalu, dengan AS$1 bersamaan RM4.07 sehingga hari ini.
“Selain itu, masalah geopolitik global yang dilihat semakin reda dan berjaya diserap oleh pasaran dunia turut mempengaruhi permintaan terhadap emas yang semakin menurun, sekali gus menyebabkan harga emas terus susut,” katanya.
Tambah beliau, tindakan pelabur menjual pegangan masing-masing ketika harga emas berada pada paras tinggi turut memberi tekanan kepada pasaran, sekali gus menyumbang kepada penyusutan harga.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan harga emas kembali meningkat menjelang penghujung tahun memandangkan ia masih dianggap sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berpotensi memberikan pulangan jangka panjang yang baik.
“Besar kemungkinan harga emas akan kembali meningkat, namun dalam julat yang tidak terlalu tinggi dan drastik seperti sebelum ini.
“Sekiranya isu geopolitik dunia yang melibatkan AS dengan negara-negara lain kembali tercetus, ia berpotensi menyumbang kepada kenaikan harga emas secara mendadak,” katanya.
Tambah beliau lagi, keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) serta perkembangan geopolitik global akan terus menjadi faktor utama yang menentukan hala tuju harga emas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.



