Trend S-Line: Jangan jadikan aib, dosa sebagai hiburan

Trend S-Line: Jangan jadikan aib, dosa sebagai hiburan

FENOMENA drama Korea bertajuk S-Line bukan sekadar mencuri perhatian peminat hiburan, tetapi turut mencetuskan perbincangan hangat soal maruah, aib dan normalisasi dosa.

Drama berunsur misteri dan psikologi itu menampilkan watak utama yang mampu melihat garisan merah di atas kepada individu yang pernah melakukan hubungan seksual.

Ia sekali gus memperlihatkan simbol ‘garis dosa’ sebagai elemen utama naratif drama berkenaan.

Apa yang membimbangkan, trend yang lahir daripada fiksyen itu kini seakan ‘meresap’ ke dalam dunia nyata termasuk dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Masakan tidak, ada yang tanpa segan silu memaparkan gambar sendiri dengan garis-garis merah itu secara terbuka.

Mengulas trend baharu itu, Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, fenomena S-Line secara tidak langsung membuka perbincangan tentang budaya mendedahkan aib sendiri, normalisasi seks bebas dan keghairahan terhadap cinta tanpa batas.

“Ramai yang seronok dengan visual dan misteri drama ini, tetapi ada juga yang risau. Kenapa makin ramai suka mendedahkan hal intim secara terbuka?

JANGAN kita menempatkan diri sebagai golongan mujahir iaitu orang yang bangga buka aib sendiri kononnya ‘jujur’ dan ‘bebas’, padahal sedang merobohkan dinding rahmat ALLAH yang menutup dosanya. -Foto: CANVA

JANGAN kita menempatkan diri sebagai golongan mujahir iaitu orang yang bangga buka aib sendiri kononnya ‘jujur’ dan ‘bebas’, padahal sedang merobohkan dinding rahmat ALLAH yang menutup dosanya. -Foto: CANVA

“Asal trending, semua ikut. Di TikTok dan Instagram, ramai anak muda mula ikut trend edit gambar sendiri dengan garisan merah. (Ia) bukan lagi gambar aesthethic (nampak indah pada zahirnya), tapi foto kononnya ada ‘garis dosa’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Bahagian Dakwah Jakim menjelaskan, keadaan itu juga secara tidak langsung melahirkan golongan yang bangga menceritakan perbuatan dosa mereka kepada umum iaitu kelompok mujahir sebagaimana disebut dalam hadis.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan diampuni kecuali golongan mujahir iaitu seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, lalu pada siangnya dia menceritakan perbuatannya, padahal ALLAH telah menutup aibnya” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“Itulah mujahir iaitu orang yang bangga buka aib sendiri kononnya ‘jujur’ dan ‘bebas’, padahal sedang merobohkan dinding rahmat ALLAH yang menutup dosanya,” tulis hantaran berkenaan.

Apabila dosa mula dipersembahkan secara terbuka dan berulang, Bahagian Dakwah Jakim mengingatkan, sensitiviti seseorang terhadap perbuatan salah juga akan terhakis.

Bayangkan, sesuatu yang dahulunya dianggap jelik, akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada norma masyarakat.

“Benda yang paling bahaya dalam hidup kita ini adalah bila dosa itu semakin lama semakin nampak ‘biasa’.

“Mula-mula kita terkejut, selepas itu kita diam, lama-kelamaan kita gelak dan akhirnya, kita pun ikut.

“Tapi hakikatnya, dosa tetap dosa walaupun satu dunia buat dan kebenaran tak pernah tunduk pada majoriti. Jangan sampai hati kita jadi kebas hinggakan benda mungkar pun sudah tidak terasa salah,” tulis hantaran tersebut.

Justeru, Bahagian Dakwah Jakim menyeru agar masyarakat khususnya generasi muda lebih berhati-hati terhadap trend yang secara halus merosakkan akhlak.

MESKIPUN hubungan seksual itu dilaksanakan dalam pernikahan yang sah dan berstatus halal pun, ia haram untuk disebarkan ke khalayak ramai. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

MESKIPUN hubungan seksual itu dilaksanakan dalam pernikahan yang sah dan berstatus halal pun, ia haram untuk disebarkan ke khalayak ramai. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Pelihara maruah bukan sekadar tutup aurat atau jaga air muka depan orang, tapi jaga diri daripada menjadi hamba trend yang semakin hari semakin jauh daripada rahmat Tuhan.

“Sebab bila maruah hilang, yang tinggal cuma jasad yang kosong. Cantik di luar, tapi reput di dalam.

“Ingatlah, Tuhan itu MAHA MENUTUP AIB, tetapi kalau kita sendiri buka, jangan salahkan DIA bila hilang syurga-NYA,” titipnya.

Jatuhkan maruah diri

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang menjelaskan, menyertai trend S-Line yang dikaitkan dengan sejarah hubungan intim secara simbolik sebenarnya melambangkan kebanggaan terhadap dosa silam, sesuatu yang dilarang keras oleh syarak.

Bahkan, pendedahan aib seperti itu bukan hanya menjatuhkan maruah diri, tetapi juga membawa implikasi hukum jika ia melibatkan perbuatan zina yang didedahkan secara terang-terangan di media sosial.

Lebih mengejutkan, jika pendedahan itu melibatkan pengakuan terhadap penzinaan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman hudud apabila aib yang asalnya ditutup kini dibuka sendiri kepada umum.

“Jika seseorang pernah terlibat dengan dosa zina, hendaklah dia menyembunyikan perkara tersebut.

“Sekiranya dia mendedahkan pekung sendiri, maka dia boleh dikenakan hukuman hudud oleh pihak berkuasa. Berbangga dengan maksiat bukanlah kebanggaan, sebaliknya hanya membuka pekung di dada dan menyebabkan asalnya tidak dihukum, menjadi boleh didakwa serta dihukum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran bertajuk ‘S-Line trend di media sosial dari neraca syarak’ di laman sosial Facebook jabatan mufti itu pada Rabu.

Apa jua niat atau alasan seseorang menyertai trend itu walaupun atas nama hiburan, Jabatan Mufti Negeri Pahang menegaskan, hiburan yang diharamkan tidak boleh dijadikan alasan kelonggaran hukum.

“Jika sekadar berhibur, kita diharamkan untuk berhibur dengan perkara yang haram.

“Andai demi populariti semata-mata, betapa teruk dan binasanya populariti yang dibina dengan publisiti murahan dan keji seperti ini,” katanya.

PELIHARA maruah bukan sekadar menutup aurat atau menjaga air muka depan orang, tetapi juga memelihara diri daripada menjadi hamba trend yang semakin hari semakin jauh daripada rahmat Tuhan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

PELIHARA maruah bukan sekadar menutup aurat atau menjaga air muka depan orang, tetapi juga memelihara diri daripada menjadi hamba trend yang semakin hari semakin jauh daripada rahmat Tuhan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Dalam pada itu, jabatan mufti tersebut turut memberi amaran bahawa bukan sahaja hubungan terlarang, bahkan hubungan halal dalam pernikahan juga tidak patut didedahkan secara terbuka jika boleh menimbulkan fitnah.

“Meskipun hubungan seksual itu dilaksanakan dalam pernikahan yang sah dan berstatus halal pun, ia haram untuk disebarkan ke khalayak ramai,” coretnya.

Seperkara lagi, jabatan mufti itu mengingatkan, walaupun kita menggunakan isyarat seperti garis merah, ia tetap dikira menyebarkan aib walaupun tanpa menyebutnya secara jelas.

“Ini kerana bilangan garis merah itu sendiri difahami oleh orang ramai dengan makna bilangan aib zina. Kefahaman dan makna itu menjadi kayu ukur larangan bagi trend ini,” menurut hantaran berkenaan.

Melihat kepada perbahasan itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang menasihatkan agar masyarakat segera menghentikan penyertaan dalam trend yang melalaikan dan menghina diri sendiri itu.

“Jangan dedahkan aib kita sama ada secara jelas, langsung mahupun (melalui) apa-apa isyarat.

“Bertaubatlah kepada ALLAH SWT kerana DIA MAHA PENGAMPUN lagi menerima taubat sekalian hamba-NYA. Pada masa sama, bergurau dan berhiburlah dengan pedoman syariat Islam.

“Jangan bergurau dengan dosa dan maksiat,” titipnya.

Scroll to Top