Debaran nak sambut Syawal tu makin hari makin terasa! Macam biasa, setiap tahun memang ramai yang tunggu kemunculan iklan atau filem pendek Raya daripada jenama-jenama terkenal tempatan.
Bukan sekadar tontonan biasa, ada yang buat kita gelak, ada yang ‘deep’ sampai terdiam… dan tak kurang juga yang buat mata tiba-tiba masuk habuk.
Berikut adalah kompilasi filem pendek raya 2026 yang wajib korang tonton.
1. PTPTN – Cukup
Naskhah emosi ini membawa penonton menyelami realiti perit sebuah keluarga yang bergelut dengan tekanan ekonomi dan persiapan SPM di ambang lebaran.
Konflik jiwa seorang anak diredakan oleh ketabahan seorang ibu yang percaya rezeki bukan sekadar wang ringgit tetapi kasih sayang dan keredaan. Ia membuktikan kebahagiaan sebenar adalah apabila kita merasa “cukup” dengan apa yang ada.
2. IJM Land – Kemas-kemas, Memori Emas
Niat untuk memberi kejutan dengan mengemas rumah hampir mencetuskan ‘perang’ antara nenek dan anak cucu.
Filem ini membongkar mengapa barang lama yang dianggap ‘sampah’ sebenarnya adalah khazanah berharga bagi warga emas kerana setiap satunya menyimpan ribuan memori yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
3. Maybank – Berkat Mak
Mengangkat martabat doa seorang ibu sebagai tunjang kejayaan seorang anak. Tanpa plot meleret, naskhah ini membawa kita menyelami pengorbanan sunyi dan bagaimana keberkatan hidup sebenarnya bermula dari rumah.
4. PETRONAS – Seindah Ramadan
Dua sahabat kecil, Hana dan Alia, membawa penonton meneroka keriuhan persiapan Ramadan.
Di sebalik kegembiraan memilih baju baharu, terselit persoalan besar tentang sama ada kemeriahan tersebut akan kekal selamanya. Sebuah refleksi tentang menghargai detik waktu.
5. PPZ-MAIWP – Manual Masa Depan
Adam, seorang eksekutif yang skeptikal dan penuh dendam, menerima sebuah buku manual misteri yang didakwa mampu meramal masa depan. Adakah ia benar atau sekadar ujian untuk menyucikan hatinya daripada belenggu masa lalu?
6. BSN – Lebih Dari Cukup
Satu refleksi mengenai erti kehidupan yang sebenar menerusi konsep barokah. “Bila kita kongsi rezeki walaupun sedikit, Allah kurniakan rasa cukup,” itulah mesej utama yang ingin disampaikan menerusi paparan kehidupan yang sangat dekat dengan masyarakat.
7. Air Selangor – Raya Ikut Rasa
Tampil berbeza dengan menumpukan kepada kesihatan mental dan penerimaan diri. Suntikan elemen komen netizen dalam penceritaan membuktikan setiap sambutan raya individu adalah unik, asalkan ia dirayakan mengikut kemampuan dan ‘rasa’ sendiri.
8. Takaful IKHLAS – Iklan Raya Paling Ikhlas
Gandingan mantap ‘otai’ seni Bront Palarae dan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) pasti merobek jiwa. Ia mempersoalkan sama ada khidmat kita kepada ibu bapa selama ini benar-benar tulus atau sekadar memenuhi tanggungjawab rutin semata-mata.
9. PLUS – Keindahan Ramadan
Nadia dan Ah Seng kembali menemui penonton untuk mengajar erti kesabaran serta keikhlasan melangkaui sempadan perbezaan kaum dan budaya. Mesej perpaduan yang sangat sinonim dengan identiti Malaysia.
10. FGV – SAJI Menyala Lagi Raya
Bukan drama air mata, tetapi video muzik bertenaga menampilkan Datuk Awie, Vanidah Imran dan Bront Palarae yang sakan menari dan menyanyi. Sangat ‘lit’ untuk membangkitkan mood raya dengan elemen retro yang segar.
11. Marry Brown – Ali Baba Bujang Rangop
Diinspirasikan daripada karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, naskhah kreatif ini membawa mesej santai namun padat bahawa rezeki yang berkat lahir daripada hati yang jujur.
12. Ribena – Rasa Yang Kita Kongsi Bersama
Ribena Malaysia tampil unik kerana menggabungkan dua perayaan iaitu Tahun Baru Cina dan Ramadan dalam satu harmoni muzikal yang ceria, melambangkan keindahan kepelbagaian di Malaysia.
13. PruBSN – Kisah Hero Raya
Menghargai ‘hero’ yang tidak didendang iaitu mereka yang berkorban dalam diam demi memastikan Syawal ahli keluarga yang lain sempurna. Sebuah penghargaan untuk insan di sebalik tabir keluarga.
14. CelcomDigi – Penyeri Tradisi Raya
Memberi fokus kepada titis keringat dan kudrat insan-insan yang bekerja keras demi memastikan tradisi Aidilfitri terus hidup. Merekalah ‘penyeri’ sebenar dalam setiap kemeriahan yang kita kecapi.
15. Agro Bank – Maaf, Saya…
Naskhah hiba yang menyelami realiti keluarga yang membesarkan anak autisme. Ia mengajar kita bahawa setiap keluarga mempunyai ujian tersendiri, namun kasih sayanglah yang menjadi pengikat paling kuat.
16. COSMODERN – Raya Berseri
Raikan Syawal dengan penuh gaya menerusi kolaborasi vokal bertenaga Perry K dan Layla Sania. Mesejnya jelas iaitu memancarkan kegembiraan dari dalam hati selari dengan nilai kebersamaan jati diri kita.
17. FWD – Bintang Mama
Memaparkan dilema seorang ibu yang berdepan dengan rajuk anaknya, Mika, akibat satu salah faham. Mampukah kemaafan dan penjelasan tulus seorang ibu memujuk kembali hati si kecil di hari lebaran?
Best kan kesemua filem pendek raya tahun ni? Semuanya sarat dengan pelbagai pengajaran dan peringatan. Semoga kita semua mendapat serba sedikit input positif yang setiap filem ni nak sampaikan.
Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri kita pada tahun ini menjadi sebuah kenangan dan memori indah untuk kita kenang di masa akan datang.
Selamat Hari Raya semua!




