Trio memanah compound wanita mara ke final Piala Asia

Trio memanah compound wanita mara ke final Piala Asia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemanah kebangsaan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh mempamerkan prestasi cemerlang apabila membantu pasukan wanita compound mara ke final Piala Asia 2025 Pusingan 2 di Singapura, hari ini.

Untuk perlawanan akhir esok, gandingan Fatin bersama Saritha Cham Nong dan Ng Sui Kim akan menentang pilihan utama India, Shanmukhi Naga Sai Budde, Tejal Rajendra Salve dan Tanishka Nilkumar Thokal dalam misi memburu kejuaraan buat Malaysia.

Bagi Fatin, peluang ke final cukup bermakna kerana kali terakhir dia beraksi dalam format berpasukan ialah ketika Sukan SEA Hanoi dua tahun yang lalu.

“Kami tidak meletakkan sebarang tekanan dan apa yang penting adalah memberikan tentangan terbaik dalam perlawanan akhir.

“India ialah pasukan yang sangat kuat dari segi ranking, tetapi dalam sukan memanah, segalanya boleh terjadi,” katanya.

Trio berkenaan kali pertama beraksi bersama-sama dan mereka berjaya mencipta pencapaian yang sangat cemerlang pada kejohanan ini.

“Saya anggap setiap aksi sebagai peluang untuk bangkit dan dalam pasukan, kami sudah menunjukkan peningkatan serta mahu mengekalkan prestasi itu di final esok,” katanya.

Malah, mereka juga mencipta rekod kebangsaan baharu dengan kutipan 2,068 mata, manakala dua gangsa turut disumbangkan oleh pasukan compound lelaki dan recurve wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top