Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengarahkan peguam Rumah Putih untuk menyiasat sama ada pembantu kepada bekas Presiden Joe Biden menyembunyikan kemerosotan mental beliau dan menggunakan pen mekanikal (autopen) secara tidak sah bagi menandatangani dokumen polisi atas namanya.
Biden, yang kini menghidap kanser berkata bahawa semua keputusan sepanjang pemerintahannya dibuat olehnya sendiri.
Beliau menyifatkan tindakan Trump itu sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat AS daripada rang undang-undang sedang dibincangkan di Kongres yang akan melanjutkan pemotongan cukai untuk golongan kaya.
Trump daripada Parti Republikan sudah lama mendakwa bahawa Biden dari Parti Demokrat yang menewaskannya dalam pilihan raya 2020 sebagai tidak waras secara mental.
Beliau turut mencadangkan bahawa penggunaan autopen untuk menandatangani memo, perintah eksekutif dan pengampunan mungkin dilakukan secara tidak wajar yang berpotensi membatalkan kesahihan dokumen-dokumen itu.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Biden menafikan tuduhan-tuduhan itu dan menjelaskan bahawa beliau sendiri yang membuat keputusan sepanjang tempohnya sebagai presiden.
“Saya yang membuat keputusan mengenai pengampunan, perintah eksekutif, undang-undang dan pengisytiharan. Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah mengarut dan palsu,” katanya.
Pejabat Biden menjelaskan bahawa penggunaan autopen adalah amalan sah yang sudah lama diterima pakai selepas keputusan dibuat oleh presiden.
Bekas presiden itu yang kini berusia 82 tahun melepaskan pencalonannya sebagai calon presiden Demokrat tahun lalu selepas debat yang gagal berdepan Trump yang memburukkan lagi kebimbangan terhadap usia dan keupayaannya sebagai ketua negara untuk satu penggal lagi.
Trump kemudiannya menewaskan Kamala Haris, bekas Naib Presiden yang mengambil alih pencalonan daripada Biden dalam pilihan raya November lalu.
Pejabat Biden mendedahkan bulan lalu bahawa beliau disahkan menghidap kanser prostat agresif.
Ketika masih memegang jawatan, pembantu Biden menafikan sebarang kemerosotan mental meskipun mengakui bahawa beliau semakin berusia.
Dalam satu memorandum rasmi, Trump mengarahkan peguam Rumah Putih bersama Peguam Negara untuk menyiasat sama ada terdapat individu yang ‘berkomplot untuk menipu rakyat’ mengenai tahap kewarasan Biden dan menggunakan kuasa presiden secara tidak sah.
Siasatan ini juga akan membabitkan dokumen yang ditandatangani menggunakan autopen, individu yang mengarahkannya, serta sebarang usaha untuk menyembunyikam maklumat mengenai kesihatan mental dan fizikal Biden daripada pengetahuan umum.
Seorang pegawai kanan di Jabatan Kehakiman di bawah pentadbiran Trump berkata kepada kakitangan pada Isnin bahawa beliau diarahkan untuk menyiasat tahap kewarasan Biden.
Beliau turut diarahkan menyiasat sama ada orang lain mengambil kesempatan terhadap Biden termasuk ketika memberikan pengampunan kepada ahli keluarga dan banduan akhir menjelang akhir penggalnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




