Trump arah tentera tembak kapal pasang periuk api di Selat Hormuz

Trump arah tentera tembak kapal pasang periuk api di Selat Hormuz
Trump arah tentera tembak kapal pasang periuk api di Selat Hormuz

Trump mengeluarkan arahan untuk menembak mana-mana kapal yang memasang periuk api di Selat Hormuz.

 

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Khamis beliau telah mengeluarkan arahan untuk menembak mana-mana kapal yang memasang periuk api di Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Saya telah mengarahkan Tentera Laut AS untuk menembak mana-mana bot yang memasang periuk api di perairan Selat Hormuz. Tidak perlu ada sebarang keraguan,” kata Trump dalam satu hantaran di media sosial.

“Selain itu, kapal pembersih periuk api kami sedang membersihkan Selat itu ketika ini. Saya dengan ini mengarahkan aktiviti itu diteruskan, tetapi pada tahap tiga kali ganda lebih giat!” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat seminggu selepas Trump mendakwa Teheran “telah mengalihkan, atau sedang mengalihkan, semua periuk api laut”.

Selepas AS dan Israel mula menyerang Iran pada 28 Februari lepas, Iran bertindak balas dengan menyekat Selat Hormuz serta mengancam untuk menyerang mana-mana kapal yang tidak mendapat kebenarannya untuk melalui laluan air berkenaan.

Sekatan itu telah menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan global, menyebabkan harga tenaga melonjak tinggi dan mencetuskan pelbagai langkah segera bagi mengelakkan kekurangan bekalan bahan api.

Pembukaan semula Selat Hormuz menjadi isu utama yang sukar dicapai dalam rundingan untuk menamatkan peperangan selepas gencatan senjata selama dua minggu bermula pada 8 April.

Beberapa hari kemudian, AS melaksanakan sekatan yang menjejaskan kapal-kapal yang datang dari atau menuju ke pelabuhan Iran, ketika Washington cuba memutuskan sumber pendapatan utama Teheran.

Trump secara unilateral melanjutkan gencatan senjata pada Selasa, namun sekatan oleh pihak AS tetap diteruskan. – Bernama

 

 

Scroll to Top