ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata, Iran mempunyai tempoh 48 jam untuk memenuhi tuntutan Washington bagi mencapai perjanjian atau membuka semula Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi.
“Masih ingat ketika saya memberi Iran tempoh 10 hari untuk sama ada membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz,” kata Trump di platform media sosialnya, Truth Social.
“Masanya semakin suntuk, 48 jam sebelum ‘neraka akan melanda mereka’,” katanya.
Pada 26 Mac, Trump berkata, beliau melanjutkan tempoh rundingan nuklear Iran kepada 10 hari, sebahagiannya kerana Tehran menghantar 10 kapal tangki minyak berbendera Pakistan sebagai isyarat muhibah.
Rantau itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini meragut nyawa lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Teheran pula bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. – Bernama



