Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan perbincangan penting dengan Ketua NATO, Mark Rutte pada Rabu, ketika Rumah Putih menyatakan beliau akan membincangkan kemungkinan keluar daripada perikatan itu selepas ia gagal menyertai perang Iran.
Trump sebaliknya dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menghukum beberapa anggota NATO yang dipercayainya tidak membantu semasa konflik itu dengan memindahkan tentera AS keluar dari negara berkenaan, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Rutte bekas Perdana Menteri Belanda yang digelar ‘pembisik Trump’ kerana kemahirannya memujuk pemimpin AS yang sukar diramal itu memasuki Sayap Barat melalui pintu sisi dan mesyuarat mereka diadakan secara tertutup.
“Ia adalah perbincangan yang sangat jujur dan sangat terbuka,” kata Rutte kemudian kepada penyiar Jake Tapper di CNN.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt memberitahu pemberita, adalah amat menyedihkan apabila NATO membelakangkan rakyat Amerika sepanjang enam minggu lalu sedangkan rakyat negara ini yang membiayai pertahanan mereka.
Ditanya sama ada Trump akan membincangkan kemungkinan menarik diri daripada NATO, Leavitt berkata: “Ia adalah sesuatu yang telah dibincangkan presiden, dan saya rasa ia adalah sesuatu yang akan dibincangkan presiden dalam masa beberapa jam lagi dengan Setiausaha Agung Rutte.”
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata rapuh selama dua minggu.
Trump meluahkan kemarahan terhadap keengganan rakan kongsi Barat untuk menyokong perangnya terhadap Iran, yang menggoyangkan perikatan transatlantik yang pada usia 77 tahun, hanya dua tahun lebih muda daripada beliau.
Pemimpin AS itu menyifatkan NATO sebagai ‘harimau kertas’ kerana enggan mengetuai usaha membuka Selat Hormuz yang strategik dan menyekat tentera AS daripada menggunakan pangkalan di wilayah mereka.
Trump turut mengecam beberapa pemimpin secara peribadi, termasuk menyifatkan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer sebagai ‘bukan Winston Churchill’ dan memperlekehkan kapal pengangkut pesawat Britain sebagai ‘mainan’.
Bagi menghukum ahli NATO yang dilihat tidak membantu, pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan rancangan untuk memindahkan tentera AS dan menempatkan mereka di negara lain yang dilihat lebih menyokong perang AS di Iran, menurut laporan WSJ.
Namun, rancangan itu tidak mencapai tahap ancaman Trump yang sering dibayangkan untuk menarik AS keluar daripada NATO sepenuhnya langkah yang memerlukan kelulusan Kongres.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung NATO itu mempunyai rekod berjaya menarik semula sokongan Trump ke pihaknya.
Sebelum kunjungan ke Rumah Putih, Rutte bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio untuk bercakap mengenai Iran, perang Rusia terhadap Ukraine dan tanggungjawab NATO.
“Kedua-dua pemimpin membincangkan Operasi Epic Fury, usaha berterusan yang diketuai AS untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine melalui rundingan, serta meningkatkan koordinasi dan peralihan beban dengan sekutu NATO,” kata Timbalan Jurucakap Utama Jabatan Negara, Tommy Pigott.
Rutte juga akan bertemu dengan Ketua Pentagon, Pete Hegseth semasa berada di Washington.
NATO telah dilanda krisis demi krisis sejak Trump kembali berkuasa tahun lalu yang paling meruncing adalah ancamannya untuk merampas pulau Artik yang luas di Greenland daripada ahli perikatan, Denmark.
Awal minggu ini, Trump berkata masalahnya dengan NATO ‘semuanya bermula’ dengan Greenland walaupun beliau telah mengancam untuk menarik diri sejak penggal pertamanya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beliau juga mengabaikan Ukraine dalam perangnya menentang Rusia dan mengancam untuk tidak melindungi sekutu melainkan mereka berbelanja lebih untuk pertahanan.
Rusia dan China memerhatikan dengan gembira ketika Trump memperlekehkan perikatan itu.
Bercakap ketika Rutte menuju ke Washington, seorang pegawai NATO berkata beliau merancang untuk membincangkan dinamik keselamatan semasa termasuk dalam konteks Iran serta perang Rusia yang berterusan terhadap Ukraine dalam rundingannya dengan Trump.
© New Straits Times Press (M) Bhd




