Washington: Presiden Donald Trump pada Selasa berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza yang musnah akibat peperangan selepas penduduk Palestin dipindahkan ke tempat lain, dengan rancangan untuk membangunkannya secara ekonomi.
Langkah itu akan mengubah dasar AS terhadap konflik Israel-Palestin selama beberapa dekad.
Trump mengumumkan rancangan mengejutnya itu tanpa memberikan butiran lanjut dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang sedang melawat Washington.
Pengumuman itu dibuat selepas Trump mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran, sambil menyifatkan wilayah itu – yang ketika ini berada dalam fasa pertama gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas – sebagai “tapak runtuhan.”
“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza, dan kami akan melaksanakan tugas dengan baik,” kata Trump kepada wartawan. “Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom tidak meletup serta senjata berbahaya di sana.”
“Jika perlu, kami akan melakukannya, kami akan mengambil alih kawasan itu, membangunkannya, mencipta ribuan peluang pekerjaan, dan ia akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh Timur Tengah,” tambahnya.
Ketika ditanya siapa yang akan tinggal di Gaza selepas AS mengambil alih, Trump berkata ia boleh menjadi “rumah kepada masyarakat dunia” dan meramalkan ia berpotensi menjadi “Riviera Timur Tengah.”
Netanyahu, yang tenteranya bertempur lebih setahun dengan pejuang Hamas di Gaza, memuji pendekatan Trump dengan menyifatkannya sebagai “idea segar yang di luar kebiasaan.”
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan jawapan langsung apabila ditanya bagaimana dan atas kuasa apa AS boleh mengambil alih serta menduduki Gaza dalam jangka panjang.
“Saya melihat pengambilalihan jangka panjang ini membawa kestabilan besar kepada rantau tersebut,” katanya, sambil menambah bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin serantau dan mendapat sokongan mereka.
“Saya telah mengkaji isu ini dengan teliti selama beberapa bulan,” kata Trump, sambil menyatakan hasratnya untuk melawat Gaza tetapi tanpa memberikan tarikh tertentu.
Sebelum ini, Trump mengulangi gesaannya agar Jordan, Mesir, dan negara Arab lain menerima pelarian Palestin, dengan mendakwa mereka tiada pilihan selain meninggalkan Gaza yang telah musnah akibat perang hampir 16 bulan antara Israel dan Hamas.
Namun, kali ini, Trump menyatakan beliau menyokong pemindahan penduduk Palestin secara “tetap,” sesuatu yang lebih jauh daripada cadangan sebelumnya, yang sebelum ini ditolak mentah-mentah oleh pemimpin Arab.
Pemindahan paksa penduduk Gaza berkemungkinan melanggar undang-undang antarabangsa dan bakal ditentang bukan sahaja di rantau ini tetapi juga oleh sekutu Barat AS. Sesetengah aktivis hak asasi manusia menyifatkan cadangan itu sebagai pembersihan etnik.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, mengecam cadangan Trump sebagai “pengusiran dari tanah air mereka.”
“Kami menganggapnya sebagai resipi untuk mencetuskan kekacauan dan ketegangan di rantau ini kerana rakyat Gaza tidak akan membiarkan rancangan seperti ini berlaku,” katanya.
Trump tidak menjelaskan bagaimana proses pemindahan itu akan dilaksanakan, tetapi cadangannya selari dengan kehendak sayap kanan Israel dan bercanggah dengan komitmen bekas Presiden Joe Biden yang menolak pemindahan besar-besaran rakyat Palestin.
Kerajaan Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan penolakannya terhadap sebarang usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka dan menegaskan ia tidak akan menjalin hubungan dengan Israel tanpa pembentukan negara Palestin.
Hanya dua minggu selepas memulakan penggal keduanya, Trump menjadi tuan rumah kepada Netanyahu di White House bagi membincangkan masa depan gencatan senjata di Gaza, strategi mengekang Iran, serta harapan untuk mencapai perjanjian normalisasi Israel-Saudi.
Cadangan Trump mengenai Gaza dibuat selepas dua minggu pertama pemerintahannya yang penuh dengan kontroversi, termasuk membangkitkan idea pengambilalihan AS terhadap Greenland, memberi amaran kepada Panama mengenai pengurusan Terusan Panama, dan mencadangkan Kanada menjadi negeri ke-51 AS.
“Saya tidak tahu bagaimana mereka (Palestin) mahu kekal di sana,” kata Trump apabila ditanya mengenai reaksi pemimpin Palestin dan Arab terhadap cadangannya.
Bersama Netanyahu di Pejabat Oval, Trump mengulangi kenyataannya bahawa rakyat Palestin harus meninggalkan Gaza dan tinggal “di rumah yang baik di mana mereka boleh bahagia tanpa ditembak atau dibunuh.”
“Mereka tidak akan mahu kembali ke Gaza,” katanya.
Dalam sidang media bersama Netanyahu, Trump menggambarkan Gaza sebagai simbol “kematian dan kehancuran” dan berkata rakyat Palestin harus ditempatkan di “beberapa kawasan” di negara lain.
Beliau menyatakan bahawa AS akan mengambil alih Gaza, “meratakan kawasan itu” dan membangunkannya secara ekonomi, tetapi tidak menjelaskan bagaimana.
Sebagai seorang bekas pemaju hartanah sebelum berkecimpung dalam politik, Trump menggambarkan visi optimistik mengenai pengambilalihan Gaza oleh AS tetapi mengelak daripada menjelaskan secara terperinci bagaimana ia akan dilakukan dan dikawal.
Beliau juga tidak jelas mengenai ke mana rakyat Palestin Gaza akan dipindahkan, walaupun yakin bahawa Mesir dan Jordan akan menerima mereka – walaupun kedua-dua kerajaan itu telah menolak idea tersebut.
Trump menggelar Gaza yang musnah akibat serangan Israel sebagai berpotensi menjadi “Riviera Timur Tengah.”
Netanyahu, yang beberapa kali dirujuk Trump dengan nama panggilannya, “Bibi,” tidak mengulas secara mendalam mengenai cadangan itu selain memuji Trump kerana mencuba pendekatan baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




