New York: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membidas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Eropah ketika kembali ke badan dunia itu semalam.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB, Trump memberi amaran bahawa migrasi sedang menghantar negara Barat ‘ke neraka’ selain menolak perubahan iklim sebagai ‘penipuan’.
Beliau turut menuduh PBB gagal membantunya dalam usaha menjadi perantara perjanjian damai termasuk di Gaza dan Ukraine.
“Apa tujuan PBB? Ia mempunyai potensi yang sangat besar, tetapi ia langsung tidak menghampiri tahap yang sepatutnya dicapai,” kata Trump dalam ucapan hampir sejam yang dipenuhi serangan terhadap badan dunia itu.
Ucapan pedas pemimpin berusia 79 tahun itu disambut dengan suasana hampir senyap berbeza daripada penampilan pertamanya pada 2018 yang membuatkan pemimpin dunia lain ketawa.
Dalam pada itu, Trump juga mengecam PBB kerana ‘membiayai serangan’ terhadap negara Barat dan memberi amaran kepada pemimpin Eropah bahawa ‘negara kamu sedang menuju ke neraka’.
Menurutnya, PBB hanya tahu mengeluarkan surat tegas tanpa tindakan sebenar untuk menghentikan peperangan.
Namun, beliau mengejutkan ramai selepas bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky apabila menyatakan Kyiv mampu menawan semula semua wilayah yang diduduki Rusia.
Trump juga menggesa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menembak jatuh pesawat Rusia yang menceroboh ruang udara mereka.
Sementara itu, berhubung konflik Gaza, Trump menyifatkan pengiktirafan negara Palestin oleh Perancis dan United Kingdom (UK) sebagai ‘ganjaran’ kepada Hamas.
Dalam masa sama, beliau menolak perubahan iklim sebagai ‘penipuan terbesar’ dan menegaskan mahu menggiatkan penggerudian minyak serta memansuhkan dasar hijau.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula memberi amaran bahawa pemotongan bantuan oleh AS sedang ‘mencetuskan kekacauan’ di seluruh dunia.
Selepas pertemuan dengan Guterres, Trump dilihat menggesa perubahan kepimpinan PBB dengan menyatakan badan itu ‘boleh menjadi luar biasa dengan orang tertentu mengendalikannya’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




