Trump dakwa 'perubahan rejim' sedang berlaku di Iran, Tehran nafi

Trump dakwa 'perubahan rejim' sedang berlaku di Iran, Tehran nafi

Ankara: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mendakwa Washington telah mengadakan perbincangan “intensif” dengan pihak berkuasa Iran – dakwaan yang dinafikan oleh Tehran – dan dilaporkan turut menyatakan “perubahan rejim” sedang berlaku di Iran, lapor Anadolu Ajansi memetik media AS.

Dalam temu bual telefon, Trump “menegaskan … bahawa apa yang sedang berlaku di Iran boleh disifatkan sebagai perubahan rejim,” menurut CNBC.

Dalam temu bual itu, presiden AS berkenaan memberi isyarat perubahan besar dalam usaha menyelesaikan konflik yang telah berlarutan selama tiga minggu, walaupun butiran mengenai rundingan yang didakwa itu masih tidak jelas, termasuk siapa yang terlibat serta bagaimana atau di mana ia diadakan.

Tehran menolak secara tegas dakwaan Trump mengenai rundingan itu, dengan pegawai Iran berulang kali menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan sedang berlangsung.

Trump memberitahu CNBC sejurus selepas hantaran di Truth Social bahawa Amerika Syarikat “sangat berhasrat” untuk mencapai perjanjian dengan Iran dan menyuarakan harapan bahawa sesuatu yang substantif dapat dicapai melalui rundingan berkenaan.

Laporan itu menyusuli pengumuman terdahulu di Truth Social bahawa beliau telah mengarahkan pihak tentera menangguhkan serangan ke atas loji tenaga dan infrastruktur tenaga Iran selama lima hari bagi memberi ruang kepada kemungkinan kemajuan diplomatik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top