Trump gelar Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’

Trump gelar Selat Hormuz sebagai ‘Selat Trump’

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan Iran mesti membuka semula Selat Hormuz kepada trafik minyak sebagai syarat untuk mencapai perjanjian damai, malah menggelarkan laluan penting itu sebagai ‘Selat Trump’.

Trump kemudian menyifatkan kenyataan itu sebagai satu ‘kesilapan’, namun segera menambah ‘tiada perkara yang berlaku secara kebetulan’ baginya.

Kenyataan itu hadir ketika beliau sebelum ini turut menamakan beberapa bangunan di Washington sempena dirinya sepanjang penggal kedua.

Trump sekali lagi mendakwa Iran bersedia untuk mencapai perjanjian damai walaupun dinafikan Tehran, sambil memaklumkan rundingan sedang berjalan bagi menamatkan konflik yang berlarutan hampir sebulan.

Pemimpin berusia 79 tahun itu turut mendakwa Iran kini ‘dalam keadaan terdesak’, selain menegaskan kepimpinan, angkatan laut, tentera udara serta program nuklear negara itu mengalami kerosakan besar.

“Kami sedang berunding sekarang, dan ia akan menjadi lebih baik jika sesuatu dapat dicapai, tetapi mereka perlu membukanya.

“Mereka perlu membuka Selat Trump, maksud saya Hormuz. Maafkan saya, ia satu kesilapan,” katanya kepada forum pelaburan FII Priority yang disokong Arab Saudi di Miami.

Beliau mengakui kenyataan itu bakal menjadi perhatian media, namun menambah bahawa ‘tiada perkara yang berlaku secara kebetulan’.

Trump turut menyentuh keputusannya sebelum ini untuk menamakan semula Teluk Mexico sebagai ‘Teluk Amerika’ sejurus kembali memegang kuasa.

Dalam mesyuarat Kabinet pada 26 Mac, beliau berkata adalah ‘satu pilihan’ untuk mengambil alih minyak Iran, seperti yang didakwa pernah dilakukan AS terhadap Venezuela, walaupun perang masih berlarutan.

Presiden dari Parti Republikan itu, sebelum ini turut membuat kenyataan bersifat sindiran sebelum menamakan semula pusat seni Kennedy di Washington sebagai ‘Trump-Kennedy Center’.

Sebuah institut keamanan di Washington juga dinamakan sempena Trump tahun lalu.

Selat Hormuz sebelum ini dibuka kepada pelayaran antarabangsa, namun laluan sempit itu kini hampir lumpuh akibat konflik, sekali gus mencetuskan lonjakan harga tenaga global. Laluan ini lazimnya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyuarakan kebimbangan Iran mungkin memperkenalkan sistem ‘tol’ tetap ke atas kapal yang melalui selat tersebut.- AFP

Scroll to Top