Trump guna duit rakyat bayar syarikat Perancis RM3.94b batal projek ladang angin

Trump guna duit rakyat bayar syarikat Perancis RM3.94b batal projek ladang angin

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan membayar hampir AS$1 bilion (RM3.94 bilion) kepada gergasi tenaga Perancis, TotalEnergies, sebagai pertukaran bagi syarikat itu membatalkan rancangan membina ladang angin luar pantai di Lautan Atlantik.

Sebagai ganti, syarikat tersebut akan menumpukan usaha kepada projek bahan api fosil di AS.

Langkah ini dilihat sebagai strategi baharu kerajaan persekutuan untuk menghentikan projek tenaga boleh diperbaharui sebelum ia bermula, selepas Trump secara peribadi menyatakan kritikan terhadap tenaga angin selama bertahun-tahun.

Tahun lalu, Jabatan Dalam Negeri di bawah pentadbiran Trump telah menghentikan kelulusan permit persekutuan bagi projek tenaga boleh diperbaharui, satu tindakan yang secara berkesan ‘membunuh’ projek angin luar pantai yang masih dalam peringkat awal pembangunan.

Perjanjian terbaharu ini bertujuan memastikan syarikat-syarikat terlibat tidak dapat meneruskan pembinaan walaupun di bawah pentadbiran masa hadapan yang mungkin lebih menyokong tenaga angin.

Kerajaan akan membayar semula kos pajakan persekutuan yang dibeli oleh TotalEnergies di bawah pentadbiran Biden untuk membangunkan dua ladang angin di luar pantai New York dan North Carolina.

Jabatan Kehakiman akan menggunakan dana pembayar cukai untuk membayar balik wang yang telah dibelanjakan syarikat itu.

Menurut pemaju, kedua-dua projek tersebut sepatutnya mampu menjana lebih 4 gigawatt elektrik untuk kegunaan rumah dan perniagaan di AS.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné, dalam satu kenyataan berkata, wang berkenaan kini akan digunakan untuk membangunkan loji gas asli cecair (LNG) baharu di Texas bagi tujuan eksport ke Eropah, serta operasi penggerudian minyak di Teluk Mexico.

Setiausaha Dalam Negeri AS, Doug Burgum, menegaskan tenaga angin luar pantai adalah antara bentuk tenaga paling mahal dan tidak boleh diharap kerana tenaga hanya dihasilkan apabila angin bertiup.

Walaupun kos pembinaannya lebih tinggi, penganalisis berpendapat tenaga angin tidak mempunyai kos bahan api dan harganya lebih stabil berbanding gas asli atau minyak yang sering turun naik. -AGENSI

Scroll to Top