Washington: Matlamat Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam perang terhadap Iran tidak sama, kata Pengarah Perisikan Nasional AS, Tulsi Gabbard, semalam.
Katanya, Israel menumpukan kepada melemahkan kepimpinan Iran, manakala Presiden AS, Donald Trump menumpukan pada memusnahkan program peluru berpandu balistik dan tentera laut Iran.
Gabbard berkata, matlamat yang ditetapkan oleh presiden berbeza daripada matlamat kerajaan Israel.
AS dan Israel menekankan koordinasi rapat dalam serangan udara bersama ke atas Iran, tetapi pegawai di kedua-dua pihak mengakui matlamat mereka tidak sama.
Israel mengetuai serangan yang membunuh ulama dan pemimpin tentera Iran, manakala AS menumpukan kepada tapak berkaitan program peluru berpandu negara itu.
Difahamkan, pentadbiran Trump juga memberikan mesej bercanggah mengenai keadaan program nuklear Iran.
Sesetengah pegawai kanan pentadbiran berkata, Iran hanya beberapa minggu daripada membangunkan senjata nuklear, manakala yang lain mendakwa kempen AS-Israel musim panas lalu memusnahkan program senjata negara itu.
Iran bagaimanapun, mengekalkan program nuklearnya untuk tujuan aman.
Dalam pada itu, Gabbard berkata, komuniti perisikan AS mempunyai keyakinan tinggi mengenai lokasi simpanan uranium diperkaya tinggi Iran tetapi enggan mengulas sama ada AS boleh memusnahkannya.
Berkenaan serangan medan gas, jurang matlamat terserlah apabila Trump berkata, Washington tidak mengetahui serangan Israel ke atas medan gas South Pars yang mencetuskan serangan Iran ke atas infrastruktur tenaga di Qatar.
Susulan itu, Gabbard tidak dapat menjawab mengapa Israel menyerang infrastruktur tenaga Iran walaupun Trump mengarahkan kemudahan itu tidak disentuh.
Gabbard berkata, terpulang sepenuhnya kepada Trump untuk menentukan sama ada AS menghadapi ancaman segera daripada Iran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




