Trump jangka Iran akan runding perjanjian bagi elak serangan AS

Trump jangka Iran akan runding perjanjian bagi elak serangan AS

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat meramalkan Iran akan berusaha untuk merundingkan perjanjian dan bukannya menghadapi tindakan ketenteraan AS.

“Saya boleh katakan ini, mereka memang mahu membuat perjanjian,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih.

Ditanya sama ada beliau memberi Iran dengan tarikh akhir untuk memasuki rundingan mengenai program nuklear dan peluru berpandunya, Trump berkata, “ya, saya ada”, tetapi enggan menyatakan apa itu.

“Kami mempunyai armada yang besar, flotila, panggil apa sahaja yang anda mahu, menuju ke Iran sekarang,” kata Trump, merujuk kepada kumpulan kapal pengangkut tentera laut AS di perairan Iran.

“Semoga kita akan membuat perjanjian. Jika kita membuat perjanjian, itu bagus. Jika kita tidak membuat perjanjian, kita akan lihat apa yang berlaku.”

Trump memetik apa yang dikatakannya sebagai keputusan Iran untuk menghentikan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan – selepas tindakan keras di mana kumpulan hak asasi mengatakan lebih 6,000 orang terbunuh – sebagai bukti menunjukkan Tehran bersedia untuk berunding.

Sekutu Washington di rantau ini bimbang bahawa sebarang serangan AS ke atas Iran boleh menyebabkan ketidakstabilan dan huru-hara ekonomi.

Seorang pegawai kanan Teluk yang berhubung dengan pentadbiran Trump berkata, AS berjaga-jaga tentang apa yang dirancangnya.

“Kami berharap apa sahaja yang berlaku, ia akan membawa kepada kestabilan. Hasil itu boleh dicapai dengan rakyat Iran melakukan perkara yang betul, dan kami berharap ia berlaku,” kata pegawai itu, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Sementara itu, ketua badan keselamatan tertinggi Iran – setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Ali Larijani – bertemu sekutu Tehran, Presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow.

Tiada butiran mengenai rundingan mereka , tetapi Moscow menawarkan untuk menjadi orang tengah antara Washington dan Tehran.

Iran memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas serta-merta dengan serangan peluru berpandu terhadap pangkalan, kapal dan sekutu AS, terutamanya Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top