Trump lakukan penderaan seksual, diarah bayar RM22 juta

Trump lakukan penderaan seksual, diarah bayar RM22 juta

New York: Juri di New York mendapati Donald Trump mendera secara seksual dan memfitnah seorang bekas kolumnis majalah di Amerika Syarikat dan mengarahkan bekas presiden itu membayar wanita itu dengan ganti rugi AS$5 juta (kira-kira RM22 juta).

Sembilan juri bagaimanapun menolak dakwaan kolumis itu, E Jean Carroll, berhubung dakwaan rogol.

Ia sekali gus menyaksikan Trump pertama kali berdepan akibat undang-undang berhubung rentetan dakwaan serangan seksual sejak beberapa dekad lalu – dan bekas pemimpin itu segera menolak keputusan itu sebagai “memalukan.”

Carroll, 79, menyaman Trump tahun lalu, dengan mendakwa lelaki itu merogolnya di bilik persalinan butik mewah Bergdorf Goodman di Fifth Avenue, Manhattan, pada 1996.

Bekas kolumnis untuk majalah Elle juga mendakwa bahawa Trump memfitnahnya apabila dia merujuknya sebagai “kerja penipuan yang lengkap” selepas dia mendedahkan dakwaan itu pada 2019.

Trump, 76, pendahulu untuk pencalonan Parti Republikan dalam pilihan raya presiden tahun depan, menggelar kesnya sebagai “palsu” dan “pembohongan”

Juri memutuskan bahawa Carroll membuktikan penderaan seksual itu – iaitu hubungan seksual tanpa persetujuan – dengan kelebihan bukti, dan menganugerahkannya dengan AS$2 juta (RM8.89 juta) kepadanya.

Enam juri lelaki dan tiga juri wanita juga berkata, Trump harus membayar Carroll hampir AS$3 juta (kira-kira RM13 juta) untuk fitnah.

Berikutan keputusan itu, Carroll meninggalkan mahkamah persekutuan di Manhattan sambil tersenyum, tetapi tidak bercakap dengan wartawan.

“Kami sangat gembira,” kata peguamnya, Roberta Kaplan.

Trump menyelar keputusan itu di platform media sosialnya Truth Social.

“Saya langsung tidak tahu siapa wanita ini,” tulisnya, menggunakan semua huruf besar.

Carroll sebelum ini memberitahu perbicaraan kes sivil selama dua minggu itu bahawa serangan berkenaan menyebabkan dia berasa “malu” dan tidak dapat menjalinkan hubungan romantis.

Dia berkata dia mengambil masa lebih 20 tahun untuk mendedahkan kepada umum kerana takut” dengan Trump.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top