Trump mengaku benarkan operasi CIA di Venezuela

Trump mengaku benarkan operasi CIA di Venezuela

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengesahkan yang beliau membenarkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjalankan operasi sulit di Venezuela, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketika ditanya oleh seorang wartawan pada sidang media di Rumah Putih mengenai sebab beliau membenarkan CIA memasuki Venezuela, Trump berkata “mereka mengosongkan penjara mereka ke dalam AS” dan bahawa “terdapat banyak dadah masuk dari Venezuela”.

Trump bagaimanapun enggan menjawab apabila ditanya sama ada CIA diberi kuasa untuk ‘menyingkirkan’ Presiden Venezuela Nicolas Maduro, yang menurut AS terbabit dalam penyeludupan dadah antarabangsa.

“Bukankah ia sesuatu yang tidak masuk akal untuk saya jawab,” kata Trump.

Presiden itu turut menyatakan yang pentadbirannya sedang mempertimbang tindakan tegas terhadap operasi antidadah di daratan, selain serangan yang dijalankan oleh tentera AS ke atas bot yang disyaki membawa dadah di Caribbean.

“Banyak dadah dari Venezuela masuk melalui laut, jadi kita boleh nampak itu, tetapi kita akan hentikan mereka melalui darat juga,” kata Trump.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera AS beberapa kali melepaskan tembakan ke arah bot yang disyaki menyeludup dadah di Caribbean. Lebih 20 orang dilaporkan terbunuh akibat tindakan itu.

Tindakan itu menerima kritikan meluas, sebahagiannya kerana Kerajaan AS pada awalnya gagal memberikan asas undang-undang bagi serangan itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal Oktober lepas menyeru Kerajaan AS agar bertindak dengan berhemah.

Media AS baru-baru ini melaporkan, Trump menegaskan yang AS kini berada dalam “konflik bersenjata” dengan kartel dadah dan penyeludup dadah dianggap sebagai “pejuang haram”.

Pentadbiran Trump juga mengisytiharkan kartel dadah sebagai organisasi pengganas. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan CIA menjalankan operasi sulit di Venezuela
  • Trump menyatakan operasi ini dilakukan kerana Venezuela mengosongkan penjara mereka ke dalam AS dan banyak dadah masuk dari negara tersebut
  • Trump enggan menjawab apabila ditanya tentang kuasa CIA untuk menyingkirkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro
  • Pentadbiran Trump mempertimbang tindakan tegas terhadap operasi antidadah dan menyerang bot yang disyaki membawa dadah di Caribbean
  • Tentera AS telah melepaskan tembakan ke arah bot penyeludup dadah di Caribbean, mengakibatkan lebih 20 orang terbunuh
Scroll to Top