Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berlepas ke Jepun hari ini bagi melengkapkan bahagian kedua jelajah Asia yang dijangka memuncak dengan pertemuannya bersama Presiden China, Xi Jinping.
Lawatan ini yang pertama bagi Trump ke rantau berkenaan sejak kembali memegang jawatan dan bermula di Malaysia semalam, dengan pelbagai perjanjian yang dimeterai.
Sebelum tiba di Asia Tenggara, Trump sempat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Qatar semasa persinggahan untuk mengisi minyak, di mana mereka membincangkan gencatan senjata rapuh di Gaza.
Ini lawatan pertama Trump sebagai presiden ke Kuala Lumpur, di mana pesawatnya diiringi dua jet pejuang F-18 Malaysia semasa menghampiri lapangan terbang, sebelum disambut dengan hamparan permaidani merah serta kibaran bendera Malaysia dan AS.
Sebaik tiba di Tokyo, Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan Maharaja Jepun, sebelum pada Selasa dengan Perdana Menteri baharu, Sanae Takaichi.
Trump berkata, beliau mendengar “perkara hebat tentangnya” dan memuji hakikat bahawa Takaichi adalah pengikut setia bekas Perdana Menteri Shinzo Abe yang dibunuh — seorang tokoh yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Takaichi pula berkata, beliau memberitahu Trump bahawa “mengukuhkan pakatan Jepun-AS adalah keutamaan utama pentadbirannya dalam aspek diplomasi dan keselamatan.”
Jepun setakat ini terselamat daripada kesan terburuk tarif perdagangan yang dikenakan Trump ke atas banyak negara lain bagi menamatkan apa yang dianggapnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan tidak adil yang “merugikan Amerika Syarikat.”
Kemuncak lawatan ini dijangka berlangsung di Korea Selatan, di mana Trump akan bertemu Xi buat kali pertama sejak kembali ke Rumah Putih,
Trump dijadual tiba di bandar pelabuhan selatan Busan pada Rabu menjelang sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), dan akan bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




