Los Angeles: Beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Amerika Syarikat (AS) termasuk Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance berkemungkinan dihalang menghadiri Sukan Olimpik Los Angeles 2028 jika cadangan peraturan baharu diperkenalkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Menurut laporan agensi berita Associated Press, cadangan itu turut berpotensi menjejaskan kehadiran pegawai kerajaan AS ke Piala Dunia tahun ini yang sebahagian besar perlawanan akan berlangsung di negara itu.
WADA dan kerajaan AS sudah lama berselisih pendapat selepas Washington tidak membayar yuran tahunan kepada badan anti-doping dunia itu selama beberapa tahun.
Isu berkenaan bermula ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden dan berterusan sehingga pentadbiran Trump, dengan ahli politik dari kedua-dua parti utama di AS menyuarakan kritikan terhadap WADA.
Agenda mesyuarat WADA minggu depan dilaporkan akan membincangkan tindakan terhadap kerajaan yang gagal menjelaskan bayaran yuran, termasuk cadangan melarang wakil kerajaan menghadiri acara sukan antarabangsa.
Menurut laporan itu, AS masih berhutang lebih daripada AS$7 juta (RM27 juta) bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Pengarah Pejabat Dasar Kawalan Dadah Kebangsaan Amerika Syarikat, Sara Carter berkata negaranya akan terus menuntut ketelusan daripada WADA.
“Walaupun WADA terus mengeluarkan ancaman, kami tetap bertegas menuntut akauntabiliti dan ketelusan daripada badan itu bagi memastikan persaingan sukan yang adil,” katanya.
Ketegangan antara kedua-dua pihak turut dipengaruhi kontroversi membabitkan beberapa perenang China yang gagal ujian doping sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi masih dibenarkan bertanding.
Susulan pertikaian dan kegagalan membayar yuran, AS sebelum ini disingkirkan daripada jawatankuasa eksekutif WADA.
Namun laporan itu menyifatkan larangan terhadap pegawai kerajaan menghadiri acara sukan berkemungkinan hanya bersifat simbolik.
Bekas ahli jawatankuasa eksekutif WADA, Rahul Gupta mempersoalkan bagaimana peraturan sedemikian boleh dikuatkuasakan terhadap pemimpin sebuah negara besar seperti AS.
“Saya tidak pernah dengar sebuah yayasan Switzerland dengan bajet AS$50 juta (RM196 juta) boleh menguatkuasakan peraturan untuk menghalang Presiden AS pergi ke mana-mana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




