WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis telah memecat Peguam Negara, Pam Bondi selepas beberapa bulan hubungan yang tegang dengannya.
Beliau kemudian menamakan bekas peguam peribadinya untuk berkhidmat sebagai ketua sementara Jabatan Kehakiman.
Langkah itu diumumkan oleh presiden dari Parti Republikan tersebut menerusi hantaran di media sosial.
Ia berlaku di tengah-tengah kritikan terhadap cara Bondi mengendalikan fail pesalah seks, mendiang Jeffery Epstein dan kegagalannya untuk mendakwa beberapa individu yang dianggap musuh politik Trump.
“Pam Bondi ialah seorang patriot Amerika yang hebat dan rakan setia, yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai peguam negara saya sepanjang tahun lalu,” kata Trump di media sosial miliknya, Truth Social.
“Pam (Bondi) telah melakukan kerja yang luar biasa dalam menyelia tindakan besar-besaran membanteras jenayah di seluruh negara kita,” tulisnya.
Menurut presiden, Bondi akan beralih ke satu pekerjaan baharu yang amat diperlukan dan penting dalam sektor swasta.
Trump menulis, jawatan Bondi akan digantikan buat sementara waktu oleh Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche.
Blanche digambarkan Trump sebagai seorang pemikir undang-undang yang sangat berbakat dan dihormati.
Bondi merupakan sekutu kuat Trump. Namun, beliau menerima kecaman daripada sebahagian penyokong Trump berhubung cara beliau mengendalikan pelepasan fail Jabatan Kehakiman berkaitan Epstein.
Epstein ialah seorang pesalah seks yang disabitkan kesalahan. Epstein meninggal dunia di dalam penjara di New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas pertuduhan pemerdagangan seks.
Isu Epstein telah menjadi liabiliti politik besar bagi Trump, yang merupakan rakan lama kepada ahli kewangan yang telah jatuh maruah itu.
Bondi juga dilaporkan menimbulkan kemarahan Trump kerana gagal dalam usaha mendakwa beberapa pihak yang dianggap lawan Trump seperti bekas pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey dan Peguam Negeri New York, Letitia James.
Menurut The New York Times, Trump mungkin akan menamakan bekas ahli Kongres Republikan, Lee Zeldin yang kini mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar, sebagai peguam negara yang seterusnya.
Sementara itu, jawatan peguam negara akan diisi oleh Blanche. Blanche merupakan salah seorang peguam peribadi yang mempertahankan Trump dalam pelbagai kes jenayah yang dihadapinya selepas beliau meninggalkan Rumah Putih pada 2021. – AFP




