ISTANBUL – Presiden Donald Trump berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menarik Amerika Syarikat (AS) keluar daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas sekutu enggan menyokong perang Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik The Telegraph pada Rabu.
Dalam temu bual dengan akhbar itu, Trump menyifatkan pakatan berkenaan sebagai “harimau tak bertaring,” sambil menyatakan yang pengunduran AS daripada perjanjian pertahanan itu kini bukan lagi sekadar pertimbangan.
Apabila ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan semula keanggotaan AS selepas konflik, Trump berkata, perkara itu “melangkaui pertimbangan semula.”
“Saya tidak pernah terpengaruh dengan NATO. Saya sentiasa tahu mereka hanyalah harimau tak bertaring, dan Vladimir Putin juga tahu perkara itu,” katanya.
Sekutu NATO dilaporkan enggan membantu membuka semula Selat Hormuz, laluan maritim penting yang biasanya membawa kira-kira 20 peratus penghantaran minyak global, ketika Iran mengekalkan penutupan selama beberapa minggu, sekali gus mengganggu aliran tenaga, menaikkan harga minyak dan gas, serta mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan kemelesetan global.
Trump turut berkata, kekurangan sokongan itu sukar difahami. “Bukan sahaja mereka tidak bersama kami, malah ia sukar dipercayai. Saya tidak mendesak sangat. Saya fikir ia sepatutnya berlaku secara automatik.”
“Kami sentiasa ada secara automatik, termasuk untuk Ukraine. Ukraine bukan masalah kami. Ia satu ujian, dan kami ada untuk mereka, dan kami akan sentiasa ada untuk mereka. Tetapi mereka tidak ada untuk kami,” katanya.
Merujuk kepada United Kingdom, Trump turut mengkritik Perdana Menteri, Keir Starmer kerana enggan menyertai perang AS-Israel terhadap Iran, sambil mempersoalkan keupayaan Tentera Laut Diraja.
“Anda tidak mempunyai tentera laut. Anda terlalu tua dan mempunyai kapal pengangkut pesawat yang tidak berfungsi,” katanya, merujuk kepada keadaan armada kapal perang Britain.
Apabila ditanya sama ada perdana menteri UK perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan, Trump berkata beliau tidak akan memberi nasihat, sambil berkata Starmer boleh “melakukan apa sahaja yang dia mahu,” dan mengkritik fokusnya terhadap tenaga angin yang menurutnya meningkatkan kos tenaga.
Rumah Putih dilaporkan semakin kecewa dengan sekutu berhubung perang itu, dengan Setiausaha Negara Marco Rubio menyifatkan NATO sebagai “jalan sehala” dan mengkritik anggota yang menafikan akses AS ke pangkalan mereka.
Beliau berkata Washington mungkin akan “menilai semula” keanggotaan NATO selepas perang, pendirian yang menurut Trump beliau “gembira” dengan kenyataan Rubio itu. – Bernama/Anadolu
Ringkasan AI
- Presiden Donald Trump mempertimbangkan untuk menarik AS keluar daripada NATO.
- Trump menyifatkan NATO sebagai “harimau tak bertaring” dan kritikal terhadap sekutu.
- NATO enggan membantu membuka Selat Hormuz, mengganggu aliran tenaga global.
- Trump kritik PM UK Keir Starmer dan Tentera Laut Diraja Britain.
- Washington mungkin “menilai semula” keanggotaan NATO selepas perang Iran.



