Trump raikan ‘kemenangan syok sendiri’

Trump raikan ‘kemenangan syok sendiri’

PERANG ganas dilancarkan Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu kuatnya, Israel di bawah Operasi Epic Fury yang telah memporak-perandakan seluruh rantau Asia Barat kini telah memasuki minggu ketiga dan tiada tanda ia akan reda dalam masa terdekat.

Angka korban juga meningkat kepada hampir 1,500 orang selain lonjakan harga minyak dan gas yang mencetuskan kekacauan kepada pasaran di seluruh dunia.

Washington menyediakan peruntukan yang besar untuk konflik kali ini iaitu kira-kira AS$1 bilion (RM3.94 bilion) sehari.

Beberapa keputusan tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat Amerika tidak menyokong peperangan tersebut. Ia merupakan perang pertama disertai AS pada era moden tanpa sokongan majoriti.

Presiden Donald Trump secara semberono membuat keputusan sendiri tanpa memperoleh kelulusan Kongres atau sekutunya untuk melancarkan perang tanpa sebab kukuh ke atas Iran.

Pemimpin Republikan itu juga tidak mempunyai strategi penamat untuk perang tersebut dan gagal memberikan jawapan yang konsisten tentang apa yang diperlukan untuk mencapai ‘kemenangan’.

Trump seolah-olah tidak tahu apa yang sedang dilakukannya ketika ini kerana terlalu ‘seronok berperang’ malah menggunakan kuasanya sebagai Presiden secara melulu.

Perang Afghanistan menjadi titik hitam dalam sejarah ketenteraan AS. Foto Agensi

Perang Afghanistan menjadi titik hitam dalam sejarah ketenteraan AS. Foto Agensi

Trump berulang kali menyebut perang yang didakwa telah ‘dimenangi’, tetapi pada masa yang sama beliau menyatakan ia ‘belum selesai’.

Percanggahan retorik beliau sejak minggu lalu mungkin selari dengan gayanya mengawal naratif maklumat di Amerika, namun ia kelihatan tidak meyakinkan apabila berdepan dengan realiti sebenar peperangan.

‘Kemenangan’ dalam perang tidak sama seperti dalam acara sukan kerana tiada skor yang menentukan pemenang selepas tempoh masa yang telah dipersetujui.

Sikap angkuh dan klip gaya permainan video yang dikeluarkan oleh Washington ketika cuba mempamerkan kehebatan serangan mereka terhadap Teheran menutup hakikat bahawa konflik itu amat serius dan sukar diselesaikan.

‘Jerat klasik’

AS mungkin boleh meneruskan kempen pengeboman selama beberapa bulan lagi seperti dicanang Trump sebelum ini, tetapi ia juga perlu menghadapi serangan balas Iran yang berikrar untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Barisan pemimpin Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah membuat persediaan menghadapi peperangan tersebut selama bertahun-tahun setelah mengambil pengajaran daripada peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Trump pula terperangkap dalam ‘jerat klasik’ peperangan moden kerana percaya bahawa operasi tentera yang pantas dan tepat kononnya boleh memberi hasil politik yang cepat serta kekal.

Strategi serupa digunakan Kesatuan Soviet di Afghanistan; kempen pencerobohan AS ke atas Iraq dan Perang Rusia-Ukraine yang masih berlarutan hingga kini. Tidak kira kekuatan tentera yang digunakan pada fasa awal konflik, rakyat yang diserang lebih bertekad mempertahankan tanah air mereka.

Dengan strategi perang yang caca marba, Trump mula bercakap tentang rancangan menamatkan perang dengan menjadikan ‘kekalahan Iran’ sebagai alasan untuk mengisytiharkan ‘kemenangan syok sendiri’ di tengah-tengah hujan bom yang kian sengit.

Bagi Teheran, jalan menuju kemenangan kini semakin jelas walaupun ia mungkin mengambil masa agak lama. Mereka hanya perlu terus bertahan menangkis serangan musuh.

Info

Sejarah AS tersungkur di medan perang

Sejak mengisytiharkan kemerdekaan daripada Britain pada 1776, AS telah mengekalkan salah satu angkatan tentera terkuat di dunia dan terlibat dalam lebih 100 konflik bersenjata. Walaupun mencapai banyak kejayaan, Washington juga pernah menghadapi kekalahan yang memalukan.

1. Perang Amerika‑Algeria (1785–1795)

AS cuba melindungi kapal dan anak kapal dari lanun Algeria. Namun, selepas beberapa serangan gagal, AS terpaksa membayar ufti tahunan berjumlah AS$21,600 (RM85,100) untuk keselamatan kapal. Ia menunjukkan ketidakmampuan awal mereka dalam kuasa tentera laut antarabangsa.

2. Perang 1812 (1812–1815)

Konflik antara AS dan Britain ini berakhir tanpa kemenangan jelas. Kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Ghent yang mengembalikan sempadan seperti sebelum perang tanpa menangani isu-isu asal yang mencetuskan konflik tersebut, sekali gus dianggap kegagalan diplomatik dan ketenteraan.

3. Perang Red Cloud (1866–1868)

Konflik dengan puak Orang Asli di Wyoming berakhir dengan perjanjian yang memberi kawalan tanah kepada penduduk asal. Tentera AS gagal mengusir suku tersebut, menjadikan ini salah satu kekalahan ketara mereka yang berdepan konflik dengan komuniti pribumi.

4. Ekspedisi Formosa (1867)

Misi balas AS terhadap suku Paiwan di Taiwan gagal selepas ketua pasukan ketika itu terbunuh dan operasi terpaksa dibatalkan. Situasi itu menunjukkan kesukaran AS untuk melaksanakan operasi di luar kawasan dan kelemahannya apabila menghadapi perang gerila.

5. Perang Korea (1950–1953)

Perang ini berakhir dengan gencatan senjata tanpa pemenang jelas. Sehingga kini, Semenanjung Korea masih terbahagi antara Seoul dan Pyongyang. Intervensi AS gagal menyatukan Semenanjung Korea mengikut objektif asal mereka dan perang propaganda antara kedua-dua negara Asia Timur itu masih berterusan.

6. Perang Vietnam (1955–1975)

Washington gagal menghalang penyatuan Vietnam di bawah pemerintahan komunis. Sebagai sebahagian daripada Perang Dingin yang lebih luas, konflik itu menjadi perang proksi antara AS dan Kesatuan Soviet. Perang ini merupakan salah satu kekalahan terbesar dalam sejarah moden AS selepas penarikan tentera dan kejatuhan Saigon.

7. Pencerobohan Teluk Babi (1961)

AS cuba menggulingkan Presiden Cuba, Fidel Castro melalui operasi dilancarkan Briged 2506 yang biayai Agensi Perisikan Pusat (CIA). Tetapi, serangan tersebut gagal dalam masa tiga hari. Kegagalan itu menjadi aib besar buat pentadbiran Presiden ke-35 AS, John F Kennedy, sekali gus meningkatkan populariti Castro.

8. Perang Afghanistan (2001–2021)

Tragedi 9/11 dijadikan alasan untuk menceroboh Afghanistan pada Oktober 2001. Operasi ketenteraan AS untuk menumpaskan Taliban dan Al-Qaeda selama hampir dua dekad berakhir sia-sia. Taliban kembali mengambil alih tampuk kepimpinan selepas penarikan tentera AS dari Kabul pada 2021.

 

Ringkasan AI

  • Perang ganas dilancarkan Amerika Syarikat bersama Israel di Asia Barat memasuki minggu ketiga tanpa tanda akan reda
  • Angka korban meningkat hampir 1,500 orang dengan lonjakan harga minyak dan gas global
  • Amerika menyediakan peruntukan AS$1 bilion sehari untuk konflik tersebut
  • Kebanyakan rakyat Amerika tidak menyokong peperangan ini, menjadi perang pertama tanpa sokongan majoriti era moden
  • Presiden Donald Trump melancarkan perang tanpa kelulusan Kongres atau strategi penamat yang jelas
Scroll to Top