Trump ramal ditangkap pada hari Selasa

Trump ramal ditangkap pada hari Selasa

WASHINGTON – Donald Trump menjangkakan beliau akan ditangkap pada hari Selasa dan telah menggesa penyokongnya untuk melancarkan protes besar-besaran.

Trump menulis di laman rangkaian sosialnya, Truth Social bahawa pejabat peguam daerah Manhatta akan menangkapnya.

Dakwanya, perkara itu diketahui selepas ‘maklumat bocor’.

Pejabat peguam daerah masih belum mengulas dan Peguam Trump, Susan Necheles berkata, pihaknya tidak mendpaat sebarang petunjuk daripada penguatkuasa undang-undang.

Katanya, kenyataan bekas presiden itu berdasarkan laporan media.

Jika Trump didakwa, ia akan menjadi kes jenayah pertama yang pernah dibawa ke atas bekas presiden AS.

Kes ini memberi tumpuan kepada dakwaan wang senyap yang dibayar bagi pihak Trump oleh peguamnya kepada bintang lucah Stormy Daniels sebelum pilihan raya presiden 2016.

Ia adalah satu daripada beberapa kes membabitkan Trump yang sedang disiasat tahun ini.

Trump yang masih belum didakwa dalam mana-mana kes telah menafikan pertuduhan setiap salah lakunya.

Malah, Trump telah berjanji untuk meneruskan kempennya untuk menjadi calon Republikan dalam pilihan raya presiden 2024, walaupun berdepan dengan pelbagai pertuduhan.

Trump mempunyai pangkalan pengikut setia, dan serangan 6 Januari 2021 ke atas Capitol Amerika Syarikat oleh penyokongnya membuktikan situasi boleh meningkat menjadi keganasan.

“Memandangkan ini adalah pendakwaan politik, pejabat peguam daerah telah terlibat dalam amalan membocorkan segala-galanya kepada akhbar, dan bukannya berkomunikasi dengan peguam Presiden Trump seperti yang akan dilakukan dalam kes biasa,” tulis bekas presiden itu. – Agensi