WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu pegawainya beliau bersedia untuk menghentikan kempen ketenteraan AS terhadap Iran walaupun Selat Hormuz yang penting secara strategik masih ditutup sebahagian besarnya, lapor Anadolu Ajansi, memetik Wall Street Journal (WSJ).
Menurut pegawai pentadbiran yang dipetik WSJ, Trump dan pasukannya menyimpulkan bahawa operasi untuk membuka semula selat itu secepat mungkin akan memanjangkan konflik melangkaui garis masa pilihannya hingga empat ke enam minggu.
Sebaliknya, pentadbiran merancang untuk mencapai objektif teras iaitu melumpuhkan keupayaan tentera laut dan peluru berpandu Iran sambil menekan Teheran secara diplomatik untuk menyambung semula perdagangan bebas melalui jalan air.
Jika diplomasi gagal, Washington akan bergantung pada sekutu Eropah dan Teluk untuk menerajui pembukaan semula selat itu, menurut laporan berkenaan.
Trump juga boleh membuat pilihan berkaitan ketenteraan namun itu bukan keutamaan segera, menurutnya.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt memberitahu pemberita pada Isnin, AS “berusaha ke arah” operasi berjalan seperti biasa di selat itu.
Ketegangan serantau terus meruncing sejak Israel dan AS melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, membunuh lebih 1,340 orang setakat ini termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump sedia hentikan kempen ketenteraan terhadap Iran.
- Trump dan pasukan mahu elak konflik berpanjangan demi membuka Selat Hormuz. Objektif teras ialah lumpuhkan keupayaan tentera Iran dan tekan diplomatik.
- Sekutu Eropah dan Teluk mungkin dipanggil jika diplomasi gagal.
- Ketegangan meningkat sejak serangan AS dan Israel pada Iran.



