ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak menjangkakan tindakan pengeboman Israel di Syria serta serangan ke atas sebuah gereja Katolik di Gaza, hingga mendorong beliau menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi mendapatkan penjelasan, menurut kenyataan Rumah Putih pada Isnin.
“Presiden tidak menjangkakan pengeboman di Syria dan juga serangan ke atas gereja Katolik di Gaza.
“Dalam kedua-dua kejadian, beliau segera menghubungi perdana menteri bagi menangani situasi itu,” kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada pemberita.
Keadaan bertambah buruk pada 16 Julai apabila tentera Israel melancarkan serangan berhampiran istana presiden Syria, markas besar Turus Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Israel turut menyerang Gereja Holy Family di Gaza pada Khamis lalu, menyebabkan tiga maut dan 10 cedera, termasuk paderi gereja itu.
Laporan laman berita AS, Axios pada Ahad menyatakan bahawa tindakan Israel di Syria mencetuskan “keraguan yang semakin meningkat” dalam pentadbiran Trump mengenai Netanyahu, dengan pandangan bahawa dasarnya di Timur Tengah terlalu mengganggu kestabilan.
Berkaitan konflik di Gaza, Leavitt berkata pertempuran itu “berlarutan terlalu lama” dan menjadi “amat ganas” dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Presiden tidak suka melihat keadaan seperti itu,” kata Leavitt merujuk kepada peningkatan angka korban akibat serangan Israel di Gaza.
“Beliau mahu pertumpahan darah ini dihentikan, mahu merundingkan gencatan senjata di rantau ini dan mahu semua tawanan dibebaskan dari Gaza,” katanya.
Sejak 2 Mac, Israel melaksanakan sekatan menyeluruh ke atas Gaza dengan menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan.
Agensi bantuan antarabangsa berulang kali memberi amaran mengenai kebuluran yang sedang berlaku tanpa sebarang tanda-tanda ia akan reda.
Walaupun menerima tekanan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, mengorbankan lebih 59,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. – Bernama