Trump 'tukar nada' mengenai Greenland, tapi kekal pendirian asal

Trump 'tukar nada' mengenai Greenland, tapi kekal pendirian asal

Davos, Switzerland: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump buat kali pertama menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih Greenland ketika beliau berucap kepada pemimpin dunia di Davos pada Rabu, tetapi menuntut “rundingan segera” untuk memperoleh pulau itu daripada Denmark.

Usaha Trump untuk mengambil alih Greenland daripada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu menggoncangkan tatanan global dan pasaran, dan ia mendominasi ucapan pertamanya kepada Forum Ekonomi Dunia dalam tempoh enam tahun.

Dalam ucapan yang berlangsung selama lebih sejam di pusat peranginan ski Switzerland, Trump mengecam Denmark yang “tidak berterima kasih” kerana enggan melepaskan Greenland, dan berkata, AS sahaja yang boleh menjamin keselamatan “ketulan ais gergasi itu.”

Tetapi Trump nampaknya mengabaikan ancaman tindakan ketenteraan, dalam perubahan dramatik daripada ancamannya sebelum ini bahawa AS boleh menggunakan kekerasan untuk mengambil alih pulau Artik yang kaya dengan mineral itu.

“Kita mungkin tidak akan mendapat apa-apa melainkan saya memutuskan untuk menggunakan kekuatan dan kekerasan yang berlebihan di tempat yang kita berada, terus terang, tidak dapat dihentikan – tetapi saya tidak akan berbuat demikian,” kata Trump.

“Saya tidak perlu menggunakan kekerasan. Saya tidak mahu menggunakan kekerasan. Saya tidak akan menggunakan kekerasan. Apa yang Amerika Syarikat minta hanyalah sebuah tempat yang dipanggil Greenland.”

Saham Wall Street dibuka lebih tinggi pada Rabu selepas komen Trump.

Denmark berkata, ia adalah petanda “positif” apabila Trump mahu mengelakkan kekerasan ketenteraan – tetapi menekankan bahawa presiden AS tidak berundur daripada usahanya untuk memperoleh Greenland.

“Apa yang agak jelas selepas ucapan ini ialah cita-cita presiden kekal utuh,” kata Menteri Luar Lars Lokke Rasmussen.

Sementara itu, kerajaan Greenland mendedahkan brosur baharu pada Rabu yang menawarkan nasihat kepada penduduk sekiranya berlaku “krisis” di wilayah itu, dengan mengatakan ia adalah “polisi insurans.”

Trump berulang kali mendesak tuntutannya ke atas Greenland – yang beliau salah sebut Iceland beberapa kali – semasa ucapan panjang lebar mengenai krisis terdalam dalam hubungan transatlantik selama beberapa dekad.

Beliau berkata, beliau “mencari rundingan segera untuk sekali lagi membincangkan pemerolehan Greenland oleh AS” dan menambah bahawa Washington akan “ingat” jika Denmark berkata tidak.

Trump berkata, Greenland berada di bawah ancaman daripada Rusia dan China.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top