aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan profesional yang menyumbang dua pingat emas dalam acara lebuh raya di dua edisi Sukan Sea sebelum ini, terkilan dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang didakwa memandang sebelah mata segala jasa mereka.
Kekecewaan itu timbul selepas permohonan bajet sebanyak RM250,000 oleh pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling Team (MPC) ditolak dalam mesyuarat persiapan temasya yang berlangsung minggu lalu.
Lebih mengecewakan sumbangan dua emas yang dihadiahkan skuad profesional pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam dan 2023 di Kemboja seolah-olah tidak membawa sebarang nilai apabila permintaan minimum yang dikemukakan bagi membolehkan persiapan pasukan berjalan lancar di tolak mentah-mentah MSN.
Pengurus MPC, Sayuti Zahid mengakui keputusan untuk tidak menghantar pelumba mereka ke temasya di Thailand itu wajar, selepas melihat layanan yang diberikan MSN terhadap skuad yang sudah terbukti berupaya menaikkan nama negara di pentas serantau seperti dipandang enteng.
“Kami bukan minta lebih, tapi cukuplah untuk kegunaan keperluan asas atlet dan pegawai. Dua kali kami sumbang emas, tapi bila mohon bajet, seolah-olah kami langsung tak pernah berjasa.
“Elaun pun tak dapat seperti atlet lain yang pernah menang emas. Bila ditanya, alasan diberi kononnya kami bukan dalam program. Jadi sampai bila nak guna alasan itu?” katanya ketika dihubungi.
Sayuti berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk temasya, namun tidak boleh terus berbuat demikian kerana ia tidak adil dan tidak lestari dalam jangka masa panjang.
“Kalau atlet program podium yang dapat emas boleh di beri elaun RM2,700 sebulan, kenapa pelumba profesional yang bawa balik emas Sukan Sea tak boleh dapat apa yang atlet lain dapat.
“Jangan hanya pilih sukan tertentu untuk diberi keutamaan. Kami pun pakai jersi Malaysia, kami pun kayuh untuk negara. Tapi kenapa layanan berbeza?, Semua yang kami buat ni sebelum ini tak perlu keluarkan duit ke?” ujarnya.
Dalam perbincangan bersama MSN baru-baru ini, Sayuti mendedahkan mereka sudah dimaklumkan tiada pertambahan bajet untuk pasukan lebuh raya dan perlu menggunakan baki dana sedia ada berjumlah RM200,000 yang tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos persiapan termasuk elaun, peralatan, perlumbaan luar negara, khidmat sokongan dan logistik.
“Kalau nak kira, elaun pelumba yang menang emas, sepatutnya RM97,200 setahun untuk tiga orang, belum masuk jurulatih, mekanik, latihan, pemakanan dan sebagainya, kami tak dapat semua tu dari dulu.
Cuma tahun lalu kami dapat RM100,000. Tapi cuba bayangkan RM100,000 tolak dengan gaji pelumba RM97,200 baki hanya RM2,800 tu saja yang tinggal. Gaji jurulatih, mekanik, nutrisi semua macam mana, siapa yang nak tanggung.
“Pegawai MSN kena letak diri mereka di tempat kami. Dua kali kami menang, kami kerja bukan percuma. Macam mana nak teruskan kalau tak ada bajet?” katanya.
Beliau juga memberi amaran agar MSN tidak mengulangi yang sama apabila cuba ‘menggabungkan’ pelumba pilihan mereka tanpa menyertakan pelumba profesional, seperti yang berlaku pada edisi 2019 yang menyaksikan skuad lebuh raya gagal menyumbang sebarang pingat.
“Kalau masih ulang silap 2019, jangan nanti salahkan pasukan bila gagal dapat emas.
“Kami bukan minta lebih, kami hanya minta perkara yang setimpal dengan sumbangan kami,” katanya lagi.
Terdahulu MPC mengesahkan bahawa mereka tidak akan menghantar pelumba ke Sukan Sea Thailand (9 hingga 20 Disember) sekiranya tidak mendapat sokongan yang diperlukan daripada MSN.
Jawatankuasa jalan raya Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum ini mengemukakan permohonan bajet kepada MSN dalam satu mesyuarat bersama.
Bajet itu bertujuan untuk persiapan skuad lebuh raya ke Sukan Sea namun ditolak mentah-mentah oleh pihak berkenaan.
Sayuti turut hadir dalam mesyuarat itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Jalan Raya PKBM, Norazman Abu Samah serta Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.
© New Straits Times Press (M) Bhd