mahanum_aziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sektor peruncitan Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan luar biasa pada suku pertama 2026 dipacu oleh fenomena ‘Tsunami Tunai’ yang jarang berlaku apabila tiga aliran tunai utama berlaku secara serentak pada pertengahan bulan depan.
Ia susulan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1, kredit RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 9 Februari dan kenaikan gaji penjawat awam di bawah Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Pengarah Penyelidikan BIMB Securities Sdn Bhd, Mohd Redza Abdul Rahman, berkata penumpuan modal itu, yang digabungkan dengan permintaan perayaan berganda susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan, dijangka memacu pendapatan runcit pada suku pertama untuk mencatatkan paras rekod.
Beliau berkata, dengan adanya tunai dalam tangan pengguna di negara ini, kerajaan bukan sahaja dapat melindungi ekonomi daripada rintangan global, malah turut membina landasan pertumbuhan kukuh kepada sektor korporat tertentu.
“Tinjauan untuk jangka masa terdekat adalah sangat positif untuk sektor runcit. Kami menjangkakan ‘Tsunami Tunai’ pada pertengahan Februari apabila tiga aliran tunai utama memasuki pasaran secara serentak,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dalam pengumuman Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi STR dan SARA tahun ini, peruntukan tertinggi dalam sejarah yang juga peningkatan ketara berbanding RM13 bilion pada 2025.
Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 mulai Ogos 2025 apabila digabungkan dengan Fasa 2 SSPA, yang menyaksikan 1.6 juta penjawat awam menerima pelarasan gaji kedua mereka dalam senarai gaji Januari 2026 bakal mendorong kemasukan pendapatan boleh guna yang besar ke dalam poket golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Mohd Redza berkata, sektor pengguna kini dilihat bukan lagi sekadar pelaburan defensif, berikutan peralihannya ke arah kuasa beli yang boleh dipantau.
Beliau berkata, sektor itu sedang diubah oleh model fiskal lebih cekap, di mana ketirisan daripada subsidi pukal sebelum ini digunakan semula menjadi kuasa beli langsung.
Justeru, katanya, ia mewujudkan ‘tingkat pendapatan’ yang boleh dijangka dan lebih tinggi untuk syarikat runcit utama.
Menurutnya, memandangkan program SARA mendigitalkan tabiat penggunaan jutaan penerima, peralihan runcit tidak formal kepada formal berkemungkinan akan membawa kepada keuntungan bagi syarikat senaraian awam berkaitan sektor runcit.
Selain itu, Mohd Redza berkata, pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran 47 juta ketibaan pelawat dan RM329 bilion dalam pendapatan turut menyokong permintaan domestik.
Data terkini menunjukkan bahawa perbelanjaan pelancong semakin tertumpu kepada membeli-belah dan makanan dan minuman dan minuman (F&B), yang kini menyumbang hampir 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan pelawat.
Kemasukan pelancong antarabangsa, terutama dari China dan rantau ASEAN, memberikan rangsangan margin yang tinggi kepada penyewa pusat membeli-belah bandar dan kedai serbaneka, menambahkan lagi aliran permintaan yang kukuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




