Tuah badan, Mimi Fly menang besar di AIM25

Tuah badan, Mimi Fly menang besar di AIM25

KUCHING: Penyanyi, Mimifly muncul sebagai penerima kemenangan terbanyak pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) apabila membawa pulang lima trofi menerusi pelbagai kategori, sekali gus mencuri tumpuan dalam edisi anugerah muzik berprestij itu.

Lima kemenangan itu diraih Mimifly menerusi kategori Video Muzik Terbaik bagi Temberang, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi lagu sama, selain Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu menerusi Nara.

Penyanyi itu turut mengungguli kategori Lagu Perayaan Terbaik menerusi Serumpun, selain membawa pulang Anugerah Dalam Talian – Lagu Dengan Hasilan Tertinggi di TikTok, juga menerusi karya berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pencapaian berkenaan meletakkan Mimifly di kedudukan teratas dari segi jumlah kemenangan berdasarkan senarai pemenang AIM25 yang diberikan.

Mengikuti pencapaian itu ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mencatat empat kemenangan, termasuk Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma.

Siti turut memenangi kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik menerusi Cenderamaya, selain Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.

Kejayaan empat kategori berkenaan sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan penyanyi terbabit sebagai antara penerima pengiktirafan utama pada AIM25.

Selain itu, Aisha Retno pula mencatat tiga kemenangan menerusi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik bagi O.R.B.I.T, selain Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik menerusi [RE.HAB].

Sementara itu, kumpulan Alpha meraih dua trofi menerusi kategori Artis Baru Terbaik bagi Mona Lisa (Bang Bang) dan Lagu Pop Terbaik menerusi P. Ramlee Saloma.

Hael Husaini dan Nadeera pula membawa pulang dua pengiktirafan, masing-masing menerusi kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik bagi Peluk serta Anugerah Dalam Talian – Video Muzik Rasmi Malaysia Dengan Tontonan Tertinggi di Pelantar Video Utama menerusi Meriah Lain Macam.

Selain itu, penyanyi, Marsha Milan turut mencatat dua kemenangan menerusi Lagu Etnik Terbaik bagi Pelangi Pasti dan kategori Pra-Anugerah, Kulit Single/Album Terbaik menerusi Misompuru.

Dalam kategori Vokal Lelaki Terbaik, kemenangan menjadi milik Arddley Nicholas menerusi lagu Sandiwara Cinta, manakala Inteam dinobatkan sebagai pemenang Vokal Kumpulan Terbaik menerusi Satukan Kami Di Syurga.

Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi pula memenangi kategori Kugiran Terbaik menerusi Mahkota, manakala Hazama meraih Runut Bunyi Terbaik di Dalam Filem atau Drama menerusi Dia Bukan Syurga.

Selain itu, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir memenangi Lagu Rock Terbaik menerusi Bila Sampai Waktu, sementara Yonnyboii dan Malique membawa pulang trofi Lagu Rap/Hip Hop Terbaik menerusi Tanya Tuhan.

Bagi kategori Lagu Cina Tempatan Terbaik, kemenangan menjadi milik Yise Loo menerusi Love Yourself, manakala Buggimaan bersama Sri Vithya memenangi Lagu India Tempatan Terbaik menerusi Kadhal War.

Halim Ahmad pula dinobatkan sebagai pemenang Lagu Nasyid Terbaik menerusi Fitnah Akhir Zaman, sementara Mc Syze dan Noh Salleh memenangi Lagu Perpaduan Terbaik menerusi Matahari Malaya.

Mawat pula meraih kemenangan dalam kategori Lagu Borneo Terbaik menerusi lagu Dayang Bintang.

Dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik, Akim & The Majistret membawa pulang trofi menerusi Seni Berdamai Dengan Takdir, manakala Naim Daniel menerima Anugerah Dalam Talian Lagu Paling Tinggi Distrim menerusi Gasoline.

AIM25 juga turut menobatkan penyanyi Ella menerusi Anugerah Sri Wirama bagi menghargai kerjaya seninya.

Sementara itu, apa yang menarik, AIM25 turut menerima peningkatan peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) kepada RM950,000, berbanding RM700,000 pada AIM24.

Menerusi peruntukan itu, pemenang 15 kategori terpilih menerima geran DKK bernilai RM50,000 setiap satu, manakala pemenang Album Terbaik Tahun Ini menerima geran sebanyak RM200,000.

Antara kategori yang menerima geran RM50,000 ialah Lagu Terbaik, Artis Baharu Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Terbaik serta Lagu Runut Bunyi (OST) Terbaik dalam Filem/Drama.

Scroll to Top