Tuah tahun naga

Tuah tahun naga

najiy.jefri@hmetro.com.my

PERAYAAN Tahun Baharu Cina yang diraikan hari ini membawa sejuta makna buat Fabian Loo, Pauline Tan dan Wilson Lee.

Tahun naga dalam kalendar zodiak Cina yang dipercayai membawa simbol kekuatan, kehormatan, kejayaan dan keberuntungan nyata bakal memberi tuah kepada tiga pelakon ini yang tampil dalam filem bahasa Kantonis dan diarahkan oleh pengarah terkenal berbangsa Melayu, Tunku Mona Riza Tunku Khalid berjudul Rain Town sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Filem yang mengisahkan perjuangan dan konflik sebuah keluarga yang berhadapan pelbagai peristiwa selain menonjolkan emosi dalam hubungan keluarga yang diterjemahkan di layar perak disifatkan sebagai satu pengalaman cukup berharga sekali gus diharapkan mampu memberi kejayaan kepada filem itu.

Biarpun filem Rain Town perlu bersaing dengan 12 filem lain yang akan ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina, namun ketiga-tiga pelakon ini percaya filem yang mula menemui penonton sejak Khamis lalu itu memiliki tarikan tersendiri dan mampu memikat penonton.

Bagi Fabian, dia sudah memberikan komitmen dan mencurahkan segala yang termampu dalam memberikan hasil terbaik untuk filem itu.

“Saya tak suka istilah persaingan. Bagi saya, setiap filem ada emosi dan mesej tersendiri. Apa yang penonton suka, ia sangat subjektif dan mereka berhak membuat keputusan.

“Tapi sebagai pelakon saya sudah memberikan yang terbaik dalam menyampaikan mesej positif dan pengajaran terbaik kepada semua.

“Saya berharap penonton akan menyukai perjalanan filem ini dan berkongsi pengalaman mereka kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

Hal itu turut disokong oleh Pauline yang menganggap filem ini mempunyai sentuhan yang berbeza berbanding naskhah lain di pawagam.

“Saya tak risau apabila filem ini terpaksa bersaing dengan 12 lagi filem lain kerana Rain Town mempertaruhkan genre yang berbeza berbanding kebanyakan filem yang ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina.

“Ini bermakna penonton mempunyai pilihan dan sesiapa yang ingin menonton filem yang akan menyentuh hati mereka, Rain Town adalah naskhah yang terbaik,” katanya.

Tambah Wilson, Rain Town bukan sekadar filem untuk berbangsa Cina semata-mata, sebaliknya ia adalah filem Malaysia yang boleh ditonton oleh semua bangsa dan agama.

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baharu Cina, Fabian berkata, peluang itu digunakan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan berkongsi rasa cinta dengan orang sekelilingnya.

“Setiap tahun pasti ada kelainan dan sambutannya lebih meriah. Walaupun kami sibuk dengan kehidupan masing-masing, tapi setiap kali ketibaan Tahun Baharu Cina kami akan berkumpul dan berkongsi momen indah bersama.

“Sama seperti perayaan bangsa lain, saya juga akan memakai baju baru dan bangun lebih awal untuk bersiap. Kemudian saya akan mula ‘kutip’ duit raya atau angpau daripada ahli keluarga dan saudara-mara yang sudah berkahwin,” katanya.

Dalam pada itu, Pauline pula memberitahu, dia tidak menyambut Tahun Baharu Cina kerana sedang sarat hamil dan terpaksa duduk di rumah.

“Saya tak dapat nak sambut malam Tahun Baharu Cina kerana sedang sarat hamil dan bakal bersalin dalam waktu terdekat.

“Selalunya saya dan seluruh ahli keluarga akan mengambil peluang ini untuk pergi bercuti dalam atau luar negara, tapi tahun ini saya duduk di rumah saja,” katanya.

Ditanya mengenai berapa pasang baju raya yang disediakan, Pauline berkata, dia dan keluarganya mempunyai tabiat yang berbeza.

“Kami jarang nak membeli pakaian baharu setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina kerana mungkin kami akan pergi bercuti, jadi tiada rasa nak beli pakaian baharu,” katanya.

Sementara itu, Wilson pula berkata, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini lebih meriah apabila dia akan mengajak keluarganya menonton filem Rain Town.

“Saya akan menyambut Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur saja memandangkan keluarga saya menetap di sini.

“Selalunya kami akan meraikan pada malam raya dan meluangkan waktu bersama keluarga.

“Memandangkan saya belum berkahwin jadi tak perlulah saya nak beri duit raya kepada anak buah lagi, tapi mungkin saya akan mengajak mereka menonton filem terbaharu saya di pawagam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top