Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah – KJ

Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah – KJ
Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah – KJ

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM – Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah adalah Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut beliau, perkara itu jelas dengan merujuk kepada artikel 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Apabila Yang Maha Mulia dipohonkan supaya menarik diri daripada menjalankan kewajipan baginda, maka hendaklah baginda berhenti menjalankan kewajipan tersebut dengan syarat iaitu seberapa segera yang boleh, kemudian satu pengisytiharan berkenaannya perlu dikeluarkan serta ditandatangani oleh Undang Yang Empat dan Menteri Besar.

“Jika tanya saya sebagai seseorang yang cuba memahami undang-undang dan adat berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, secara sahnya, Yang di-Pertuan Besar hari ini adalah Tuanku Muhriz walaupun pemasyhuran telah pun berlaku,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan bersama Shahril Sufian Hamdan, Isnin lalu.

Khairy turut  kesal apabila krisis adat dan institusi diraja di negeri itu dipolitikkan.

“Saya rasa lebih baik tidak campur dalam hal ini langsung kerana ia boleh memberi kesan kepada persepsi rakyat dan telah pun memberi kesan kepada persepsi rakyat.

“Dan keduanya, ia bukan tempat parti politik pun untuk cuba campur dalam urusan perkara ini. Perkara ini sangat kompleks melibatkan bukan hanya Perlembagaan, tetapi melibatkan adat,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan, istiadat pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada Jumaat lalu adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam kenyataan memaklumkan gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba digunakan oleh Tunku Dato Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa.

Krisis pemerintahan dan adat di Negeri Sembilan memasuki episod bersejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila negeri itu seolah-oleh memiliki dua Yang di-Pertuan Besar.

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top