asyikin.mat@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tubuh seorang wanita berusia 30-an ‘tertanam’ 80 jarum susuk sejak usianya masih belasan tahun.
Perkara itu didedahkan pakar perawat susuk, Faridzuan Jamaludin yang merawat wanita terbabit.
Faridzuan berkata, sebanyak 60 susuk ‘tertanam’ di bahagian muka manakala lagi 20 susuk ditanam di badannya.
Menurutnya, itu pengalaman pertama dia merawat individu paling banyak memakai susuk sepanjang 15 tahun menjadi perawat susuk.
“Wanita terbabit memberitahu dia dipakaikan susuk oleh ibu tirinya berasal dari negara jiran yang juga seorang bomoh.
“Ibu tiri bertindak sedemikian kerana wanita itu mengadu sering dibuli di sekolah. Sejak dipakaikan susuk, masalah itu tidak lagi berlaku. Tetapi wanita ini tidak mengetahui jumlah susuk yang dimilikinya sebanyak itu,” katanya.
Katanya, wanita itu menghubunginya selepas terjumpa video dia melakukan rawatan mengeluarkan susuk tular di laman sosial TikTok.
“Dia (wanita) minta saya tolong keluarkan susuk kerana mengalami pelbagai gangguan mistik dipercayai berpunca daripada khadam (makhluk suruhan) susuk berkenaan.
“Selain itu, wanita terbabit turut mengalami masalah kesihatan lain seperti jantung dan saraf yang menyebabkan dia tidak sihat,” katanya.
Faridzuan berkata, dia memberikan wanita berkenaan amalan ayat al-Quran dan produk bagi mengelakkan gangguan itu.
“Alhamdulillah berkat daripada amalan ini, beberapa jarum susuk keluar secara tiba-tiba daripada kulitnya.
“Namun, wanita ini masih meneruskan rawatan kerana terdapat susuk belum berjaya dikeluarkan.
“Proses rawatan ini mengambil sedikit masa untuk memastikan kesemua susuk dikeluarkan sepenuhnya,” katanya.
Tubuh ‘dihalang’ meninggal dunia
Tubuh berbau busuk seperti bangkai, bahagian perut hingga ke hujung kaki mengeluarkan air bisa yang melecurkan kulit.
Itu bahana ditanggung seorang wanita warga emas berusia 100 tahun akibat memakai susuk ketika usia remaja.
Warga emas itu memakai susuk emas di bahagian kemaluan dan muka selain susuk minyak di kening.
Pakar perawat susuk Faridzuan Jamaludin berkata, rahsia warga emas itu terbongkar di penghujung usia akibat tubuhnya seolah-olah ‘terhalang’ untuk meninggal dunia.
Menurutnya, wanita warga emas itu mengaku memakai susuk bertujuan untuk mengikat kasih suaminya.
“Sebenarnya warga emas ini berasa seronok memiliki susuk. Kerana itu dia memakainya dalam tempoh masa lama . Namun akhir tindakan itu memakan dirinya.
“Selain sering diganggu banyak lembaga menyerupai wanita, dia sudah tujuh bulan tidak boleh berjalan kerana terjatuh. Dalam tempoh itu, wanita terbabit bertemu ramai perawat sebelum menemui saya,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mampu mengeluarkan susuk di wajah wanita warga emas terbabit.
“Manakala susuk di bahagian sulit dilakukan oleh perawat wanita. Namun, tidak semuanya dapat dikeluarkan berikutan keadaan kulit wanita itu yang teruk.
“Proses rawatan dan memindahkan jin yang ada dalam jarum susuk ke tempat lain menggunakan kaedah tradisional.
Ia diikuti proses [pemutus’ dan diikuti bacaan Yasin. Selepas susuk dikeluarkan, muka nenek yang sebelum ini tegang dan berseri, bertukar hitam serta kulit wajah kendur. Manakala kemaluannya keluar air bisa berbau busuk.
“Cucu warga emas itu memaklumkan pada keesokkan hari, neneknya sudah boleh tidur malam dan bau busuk juga hilang,”katanya.
Faridzuan berkata, berdasarkan pemerhatiannya mendapati warga emas itu memakai susuk ‘gred A’ yang tidak banyak pantang larang, cuma tidak boleh melihat orang meninggal dunia.
“Warga emas ini menangis menyesal atas perbuatan silamnya dan berpesan kepada anak dan cucunya supaya jangan memakai susuk. Kecantikan hanya sekejap, tapi azabnya panjang.
“Menurut pengalaman saya, susuk adalah ‘implan ghaib’ yang boleh bergerak dalam saluran darah.
” Ada yang dimasukkan di kening, tetapi akhirnya ditemui di kemaluan. Jika diritual menggunakan darah sendiri, kuasanya jauh lebih kuat. Perjanjian antara manusia dan jin yang hanya mampu diputuskan dengan izin Allah SWT,” katanya.
Katanya lagi, pengalaman itu membuktikan, kecantikan yang dicari melalui jalan khurafat tidak berkat, sebaliknya mengundang derita hingga ke hujung nyawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd



