Tuchel puji semangat Bellingham tapi beri amaran tegas

Tuchel puji semangat Bellingham tapi beri amaran tegas

London: Pengurus England, Thomas Tuchel mahu memastikan semangat luar biasa Jude Bellingham dimanfaatkan sebaiknya, dan bukannya menjadi punca ketegangan dalam skuad mahupun terhadap pengadil.

Bintang Real Madrid itu mencetus kontroversi apabila hampir menimbulkan kekecohan selepas jaringannya dibatalkan dalam aksi persahabatan menentang Senegal awal pagi semalam yang menyaksikan skuad The Three Lions tewas 1-3, kekalahan pertama di bawah kendalian Tuchel.

Gol Bellingham yang disangka jaringan penyamaan 2-2 di Stadium City Ground, milik Nottingham Forest, dibatalkan atas alasan ofsaid, sebelum Senegal menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan.

Tuchel dilihat menenangkan Bellingham yang berang sebaik wisel penamat ditiup dan mengakui dia perlu mencari keseimbangan antara semangat juang pemain itu dengan ketenangan dalam permainan.

“Dia ada aura tersendiri dan membawa tenaga berbeza. Ia penting kalau kita mahu capai sesuatu yang besar,” kata Tuchel kepada TalkSPORT.

“Tetapi tenaga itu mesti disalurkan ke arah lawan dan matlamat kami, bukan untuk menakutkan rakan sepasukan atau meletus kemarahan terhadap pengadil. Fokus mesti pada kemenangan.

“Dia ada api semangat saya tak mahu padamkannya, sebab itu kekuatannya.

“Tetapi semangat itu kadang-kadang datang dengan sisi yang boleh menggentarkan rakan sepasukan. Kadang kita nampak letusan emosi terhadap pengadil dan kemarahan dalam permainannya.

“Kalau dia dapat salurkan dengan betul, dia ada sesuatu yang kami perlukan. Elemen itu sukar dicari.”

Tuchel yang sebelum ini menjuarai Liga Juara-Juara bersama Chelsea serta meraih kejuaraan liga di PSG dan Bayern Munich, diberi mandat mengakhiri kemarau kejuaraan utama England sejak Piala Dunia 1966.

Di bawah Gareth Southgate, England pernah mara ke final dua edisi Euro terakhir, selain ke suku akhir dan separuh akhir dua Piala Dunia lalu.

Namun setakat ini, Tuchel belum menemui keserasian terbaik apabila England hanya mencatat tiga kemenangan hambar ke atas Albania, Latvia dan Andorra dalam kelayakan Piala Dunia sebelum tewas kepada Senegal.

“Saya sudah ada idea apa yang perlu dilakukan,” katanya menjelang 12 bulan terakhir sebelum Piala Dunia 2026 bermula.

“Kami cuba beberapa percubaan dalam kem latihan kedua, dan tidak semuanya gagal. Ada juga yang menjadi, tapi dua perlawanan terakhir tidak cukup bagus.

“Namun ia pengalaman yang berharga dan beri lebih kejelasan. Setiap perlawanan beri pengajaran dan bantu kami bentuk pasukan dan cari jalan penyelesaian.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top