London: Thomas Tuchel memberi amaran keras kepada barisan pemain England bahawa mereka akan diuji lebih hebat menentang Senegal Rabu ini selepas prestasi hambar ketika menewaskan Andorra 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
England dihina penyokong sendiri di Stadium Olimpik Barcelona apabila gagal menampilkan aksi meyakinkan menentang pasukan di ranking ke-173 dunia, meskipun Harry Kane sekali lagi menjadi penyelamat menerusi jaringan pada minit ke-50.
Ia kemenangan ketiga berturut-turut Tuchel sejak mengambil alih skuad Three Lions awal tahun ini, namun bekas bos Bayern Munich itu kecewa dengan sikap sambil lewa anak buahnya terutama di penghujung perlawanan.
“Separuh jam terakhir saya langsung tak suka. Kami hilang segala-galanya, disiplin, fokus, dan intensiti. Ia bukan aksi layak Piala Dunia,” tegas Tuchel.
“Banyak yang perlu diperbaiki. Buat masa ini, semuanya adalah proses pembelajaran. Tapi kami perlu belajar cepat, masa tidak menyebelahi kami.”
England bakal menentang Senegal, pasukan ke-19 dunia, dalam satu lagi aksi persahabatan yang dianggap ujian sebenar buat Tuchel dalam persiapannya ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat.
Dengan hanya beberapa jendela antarabangsa sebelum kejohanan besar itu, Tuchel enggan memberi alasan keletihan walaupun sebahagian besar pemainnya melalui musim domestik yang padat.
“Saya tak lupakan semua ini, tapi kami kena realistik, tak banyak perlawanan tinggal. Pemain perlu tahu standard apa yang kami mahukan. Kami akan bentangkan semua secara terperinci dari video, statistik dan cara kami perlu bermain.”
Kane terus menyinar di bawah kendalian Tuchel, meledak dalam tiga perlawanan berturut-turut dan kini mencatat 72 gol bersama England.
Namun, kapten itu sependapat dengan jurulatihnya bahawa persembahan menentang Andorra tidak boleh diterima.
“Kami nampak letih, fizikal dan mental. Persekitaran pun sama macam yang akan kami hadapi musim panas nanti, padang kering, cuaca panas, lembap,” kata Kane.
“Nasib baik kami pasukan yang bagus dan Andorra tak ambil kesempatan atas kesilapan kami. Tapi jelas sekali, ia belum cukup bagus.”
Tuchel mahu England menampilkan gaya permainan lebih agresif dan dinamik seperti kebanyakan kelab Liga Perdana Inggeris, namun akur kesukaran merencana taktikal dengan masa terhad.
“Kami kena lebih berani. Lawan sudah main formasi sama tiga kali berturut-turut, 5-4-1, tapi kami masih gagal atasi mereka. Tiada alasan lagi. Kalau tak menang bola, tak agresif, tiada counter-press, itu bukan bola sepak yang kami mahu tunjuk.”
© New Straits Times Press (M) Bhd