London: Tottenham hari ini mengesahkan pelantikan Igor Tudor sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim.
Bekas pengendali Juventus itu menggantikan Thomas Frank yang dipecat pada Rabu selepas Tottenham bergelut dalam prestasi buruk dan kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.
Jurulatih dari Croatia itu dan pihak pengurusan Tottenham mencapai persetujuan lisan semalam sebelum perjanjian tersebut dimuktamadkan secara rasmi.
“Ia satu penghormatan untuk menyertai kelab ini pada saat penting,” kata Tudor.
“Saya faham tanggungjawab yang diberikan dan fokus saya jelas untuk membawa lebih konsistensi dalam prestasi dan bersaing dengan penuh keyakinan dalam setiap perlawanan.
“Skuad ini memiliki kualiti yang tinggi, dan tugas saya adalah menyusun, menyuntik semangat serta memperbaiki keputusan dengan segera.”
Di Juventus, Tudor mewarisi pasukan yang berada di luar kedudukan Liga Juara-Juara lewat musim 2024-25, namun berjaya membimbing mereka menamatkan saingan di tempat keempat selepas hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan awalnya.
Bagaimanapun, beliau gagal mengulangi prestasi itu musim ini dan akhirnya dipecat pada Oktober selepas lapan perlawanan tanpa kemenangan menyebabkan kelab itu terperosok ke tangga kelapan Serie A.
Jurulatih berusia 47 tahun itu juga pernah mengendalikan Lazio, Marseille, Verona, Hajduk Split, Galatasaray dan Udinese.
Bekas pertahanan Croatia itu kini diberi tanggungjawab besar untuk membetulkan kemelut yang ditinggalkan Frank, yang dipecat sehari selepas kekalahan 2-1 kepada Newcastle pada Selasa.
Frank, yang diambil dari Brentford tahun lalu menggantikan Ange Postecoglou, disingkirkan selepas hanya meraih dua kemenangan daripada 17 perlawanan liga.
Pengarah sukan Tottenham, Johan Lange, percaya Tudor mampu menjadi penyatu di kelab yang bergolak sepanjang tujuh bulan era Frank.
Selain bergelut untuk mengelak penyingkiran buat kali pertama sejak musim 1976-77, kelab London Utara itu juga mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara, satu-satunya sinar harapan mereka musim ini.
Perlawanan seterusnya Tottenham adalah derbi London Utara menentang Arsenal di laman sendiri pada 22 Februari.
© New Straits Times Press (M) Bhd



