Tuduhan Curang, Fattah Amin Saman Pasangan Pempengaruh RM5 Juta

Tuduhan Curang, Fattah Amin Saman Pasangan Pempengaruh RM5 Juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah terhadap pasangan pempengaruh, Nuraien Adilla Hasha Akhbar atau lebih dikenali sebagai Elcah, 29, dan suaminya, Mohd Hafizzuddin Hamri, 29, untuk menurunkan hantaran berunsur fitnah terhadap pelakon popular, Fattah Amin.

Perintah tersebut dibuat susulan hantaran yang dikaitkan dengan isu penceraian Fattah bersama bekas isterinya, Nur Fazura.

Menurut peguam mewakili Fattah, Mohd Faiz Iskandar Hamzah, permohonan injuksi ad-interim (sementara) difailkan plaintif diluluskan Hakim Datuk Anand Ponnudurai pada Khamis.

“Mahkamah membenarkan permohonan ex-parte dan memberikan perintah ad-interim untuk defendan-defendan menurunkan semua hantaran berkenaan sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya adalah dihalang untuk menerbitkan apa-apa kenyataan berkenaan dengan plaintif, khususnya berkenaan dengan dakwaan kononnya plaintif berlaku curang,” katanya.

Dakwaan Fitnah Tular Di Threads

Terdahulu, pada 26 Ogos lalu, Fattah, 35, memfailkan saman terhadap pasangan itu berhubung kenyataan fitnah yang dimuat naik di akaun Threads mereka pada 29 Julai dan 22 Ogos 2025.

Kenyataan tersebut didakwa ditonton, dikongsi dan disebarkan secara meluas hingga menjejaskan reputasi pelakon berkenaan.

Ia antara lain menuduh Fattah berlaku curang ketika perkahwinannya sehingga berlaku perceraian.

“Defendan-defendan secara bersama menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mendapatkan pengesahan daripada saya.

“Mereka berbuat demikian dengan tujuan utama untuk mencemar nama baik, menjatuhkan reputasi, memalukan saya di mata masyarakat umum serta dalam bidang profesional saya,” jelasnya.

Fattah alami gangguan emosi

Tambahnya, akibat dakwaan tersebut, dia mengalami tekanan emosi, penghinaan serta pengaiban di khalayak umum.

Oleh itu, Fattah memohon injuksi untuk menghalang defendan atau wakil mereka daripada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, selain menuntut permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis di akaun Threads dan media sosial pasangan tersebut.

Malah, Fattah juga turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk serta teladan berjumlah RM5 juta.

Sumber: mStar

Scroll to Top