“Tak pernah nampak dia gatal atau cerita hal wanita,” demikian kenyataan pelakon, Pekin Ibrahim yang tampil mempertahankan rakan selebriti, Fattah Amin selepas didakwa berlaku curang oleh bekas isterinya, selebriti Nur Fazura.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook, Pekin memuat naik sebuah video memaparkan momen ketika dia dan Fattah menjalankan penggambaran bersama.
Sering luang masa bersama, Pekin, 42, berkata Fattah tidak pernah menjaja masalah rumah tangganya kepada orang lain meskipun ketika itu perkahwinannya diuji.
“Mengenali Fattah Amin, teman sekelas saya di UUM. Saya pernah mengarah dia di saat ramai kata dia pelakon kayu, tapi dia buktikan dia boleh berlakon dengan baik.
“Ketika saat-saat rumah tangga tengah bergolak, saya dan dia bersama lagi untuk sebuah filem, latihan serta penggambaran agak lama.
“Kami luang masa bersama, tidak sekali pun dia tunjukkan masalah di wajahnya, tidak sekalipun bercerita hal peribadi. Hanya rindu anak dan isteri yang sering sahaja terkeluar dari mulut.
“Jauh sekali tuduhan dia ada wanita lain, kami menjalani penggambaran lama bersama pelakon dari Indonesia, tidak sekalipun saya nampak Fattah gatal atau bercerita hal wanita,” katanya.

Menganggap dakwaan berlaku curang satu tuduhan yang berat, Pekin turut memaklumkan Fattah tidak pernah meninggalkan solat.
“Sampai waktu solat hanya minta rehat untuk tunaikan kewajipan. Sebagai kawan aku rasa tuduhan itu (curang) berat buat dia.
“Hanya apa yang mampu kita semua minta supaya Fattah tabah dan kuat. Sedih dengar hal-hal cerai ini. Mintak jauh hal macam ni. Tapi aku team Fattah,” tulisnya.

Pada 7 Oktober lalu, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu di hadapan dan lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Fazura yang telah memfailkan perceraian pada 13 September lalu bercucuran air mata apabila mengakui dia tidak dapat menerima Fattah bertindak curang.
Selain isu curang, punca perceraian lain adalah Fattah didakwa telah mengabaikan nafkah serta tiada persefahaman.
Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.
Artikel Berkaitan: Langgar Perintah Mahkamah Sebar Aib Fattah Amin? Peguam Maklum Fazura Boleh Disabitkan Hukuman Penjara – “Nak Terus Fitnah? Tanggunglah Dosa”




