LARUT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan tuduhan mengkhianati parti sebaliknya menyifatkan dakwaan tersebut sebagai alasan politik untuk menyingkir beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, tuduhan tersebut timbul hanya kerana beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kerajaan.
Katanya, sebagai Ketua Pembangkang beliau mempunyai tanggungjawab untuk berjumpa dengan mana-mana pemimpin termasuk menteri kerajaan bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan rakyat.
“Kalau saya nak jumpa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang daripada DAP sekalipun, apa salahnya? Saya Ketua Pembangkang dan dia seorang menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Masjid dan Surau di Madrasah Hafizah Sungai Bayor Selama di sini hari ini.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas Timbalan Presiden Bersatu itu mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain.
Presiden Bersatu itu mendakwa wujud pertemuan Hamzah bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang dikaitkan dengan langkah ‘Bangkok Move’ bagi membincangkan perkara berkenaan.
Ahli Parlimen Larut itu mempersoalkan tuduhan Muhyiddin sebagai tidak berasas kerana pertemuan dengan mana-mana pemimpin politik bukan satu kesalahan dalam sistem demokrasi.
“Kalau orang lain berjumpa Perdana Menteri tidak dianggap pengkhianat, kenapa bila saya jumpa mereka tiba-tiba saya dituduh khianat? Pengkhianat kepada siapa?” katanya.
Katanya, pertemuan dengan mana-mana pemimpin politik bukan bertujuan menyelamatkan kedudukan dirinya, sebaliknya untuk memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.
“Kalau ada orang jumpa pihak tertentu untuk selamatkan diri, itu cerita lain. Saya tidak. Saya hanya mahu mempertahankan perjuangan agama dan bangsa Melayu,” katanya. – UTUSAN




