sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao ingin meneruskan momentum cemerlang untuk mara lebih jauh pada Terbuka India.
Ini susulan kejayaan mengejutkan pemain pilihan kelima dari China, Li Shi Feng di pusingan pertama semalam untuk mara ke pusingan kedua esok.
Namun begitu, pemain di ranking ke-29 dunia mengakui ia bukan tugas mudah apabila akan bertemu seorang lagi pemain dari Tembok Besar, Weng Hong Yang.
“Sudah tentu, pemain dari China memang sangat bagus dan saya akan fokus kepada sesi pemulihan terlebih dahulu dengan baik sebelum turun dalam perlawanan itu. Saya akan melakukan yang terbaik dalam aksi itu,” katanya kepada BWF.
Kedua-dua pemain akan turun dalam pusingan kedua esok untuk merebut slot ke suku akhir.
Selain itu, Jun Hao turut memaklumkan sejak menerima sentuhan daripada jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran beberapa bulan lalu, ia sedikit sebanyak mengubah corak permainannya di dalam gelanggang.
“Sejak Yogendran mengambil alih lima bulan lalu, kami bekerjasama dengan sangat baik untuk mencari teknik khusus di dalam permainan seperti mana pemain teratas dunia.
“Kini saya dan jurulatih berlatih ke arah itu agar saya boleh meningkatkan permainan saya ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, pemain berusia 25 tahun itu berada sangat gembira apabila mengalahkan Shi Feng dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-17, 21-17 dalam tempoh 68 minit.
Itu juga adalah kemenangan pertama buat dirinya ke atas wakil China itu selepas lima pertemuan sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd