Tugasan dah selesai, upah tak dibayar, malah rugi lebih RM18,000

Tugasan dah selesai, upah tak dibayar, malah rugi lebih RM18,000

Kuala Terengganu: Seorang kerani akaun mengalami kerugian RM18,573 akibat terperdaya dengan sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 28 tahun itu telah melihat iklan kerja sambilan di sebuah laman sesawang pada 1 Julai yang menjanjikan komisen tinggi.

Beliau berkata mangsa yang berminat telah menghubungi suspek dan diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun yang diberi untuk tempahan hotel dan wang berkenaan akan dikembalikan dengan komisen setinggi 30 peratus.

“Mangsa telah membuat tugasan pertama dan mendapat komisen yang dijanjikan.

“Namun selepas tugasan kedua dan ketiga disiapkan, dia masih belum mendapat bayaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa kemudian sedar telah ditipu apabila suspek memberi pelbagai alasan apabila diminta memberikan wang pulangan.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan bayaran lumayan dan tinggi. Periksa kesahihan dan dapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top