Tujuh ahli GISBH disambung reman

Tujuh ahli GISBH disambung reman

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tujuh lagi tangkapan membabitkan ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) disambung reman lima hari selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, lanjutan reman itu bersabit Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Menurutya, kesemua tangkapan ini dibenarkan sambung reman selama lima hari bermula esok hingga 1 Oktober ini.

“Berhubung dakwaan pekerja GISBH tidak dibayar gaji, polis sudah menerima 10 laporan dan siasatan akan dijalankan untuk meneliti pendakwaan yang boleh dilaksanakan.

“Dalam perkembangan lain, seorang tangkapan sudah dituduh membabitkan tiga kertas siasatan dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pertuduhan ini meliputi kertas siasatan kes video viral berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak di mana pertuduhan dijalankan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

“PDRM juga menyeru ahli atau pengikut GISBH untuk tampil membuat laporan ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan secara komprehensif terhadap organisasi ini,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top