Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah pusaka hangus

Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah pusaka hangus

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami mereka di Kampung Pengadang Baru, di sini, hangus dalam kebakaran, hari ini.

Mangsa, Muhammad Saiful Hanafi Ghazali, 25, berkata, dalam kejadian 5 petang itu, dia sedang berbual dengan adik-beradik di beranda rumah.

Katanya, tidak lama kemudian dia naik ke tingkat atas untuk mengambil telefon bimbit yang sedang dicas dalam bilik tidurnya.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut melihat api membakar bahagian dinding bilik tidur kakaknya sebelum memberitahu adik beradik lain.

“Saya cuba memadamkan api yang membakar bahagian dinding dan siling.

“Namun, saya turun ke tingkat bawah kerana bimbang terperangkap selepas melihat bara api bertaburan seperti hujan dalam bilik tidur kakak selain beberapa letupan kecil.

“Saya kemudian meminta kakak menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kejadian menyebabkan keluarga terbabit kerugian sebanyak RM200,000 apabila semua barangan dalam rumah termasuk pakaian, perabot dan barangan elektrik serta sebuah motosikal hangus.

Sementara itu, ibu Muhammad Saiful Hanafi, Meriam Mat Zain, 69, berkata, ketika kejadian dia berada di bandar kerana menemani cucu membuat urusan di sebuah bank.

“Selepas selesai urusan bank, saya singgah di rumah kawan di Kampung Losong, di sini, sebelum anak telefon memberitahu rumah terbakar.

“Sedih rasa hati melihat rumah pusaka mentua yang kami tinggal sejak 1983 hangus sekelip mata.

“Kini kami tinggal sehelai sepinggang, namun syukur semua anak dan cucu selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal yang hangus 80 peratus.

Beliau berkata, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top