Tujuh kematian dalam lokap sejak 1 Januari

Tujuh kematian dalam lokap sejak 1 Januari

PETALING JAYA: Sebanyak tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dilaporkan sejak penubuhan USJKT (Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada 1 Januari lalu. 

Bagaimanapun, kesemua kematian itu tidak melibatkan unsur jenayah.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, jumlah itu melibatkan empat kematian dalam lokap manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. 

Menurut beliau, satu kes lagi melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital. 

“Melalui USJKTJIPS, kita memberi jaminan bahawa setiap kes kematian dalam tahanan atau jagaan PDRM akan disiasat secara telus tanpa  kompromi.

“Selain itu, enam kes yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada memerlukan inkues atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Azri berkata, PDRM mencadangkan untuk mewujudkan klinik bersepadu di setiap lokap bagi memantau tahap kesihatan OKT bagi mengatasi insiden dalam lokap. 

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu masih di peringkat cadangan kerana memerlukan kos yang besar.

“Prosedur operasi standard yang dibuat oleh PDRM setakat ini, sekiranya ada OKT yang mengalami masalah kesihatan kami akan rujuk kepada hospital berdekatan, “ katanya.- UTUSAN 

Scroll to Top