Tujuh korban gempa bumi di Jawa Timur

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

JAKARTA: Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan semalam disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi tadi, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati, berkata tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.

Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada kira-kira jam 2 petang semalam, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan, dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada 6.54 pagi tadi.

Kejadian gegaran semalam itu turut dirasakan di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd